Free Delivery on all Books at the Book Depository
Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Saturday, October 01, 2016

Kek Mentega Oren Noxxa



Minggu lepas ibu mertuaku balik dari Mekah. Dia ni kalau di rumah lebih suka masak sendiri berbanding beli. Jadi bila ke Mekah, dengan makan hidangan katering dia jadi tak lalu makan. Ada juga masalah kesihatan lain. Bila tak lalu makan badan pun lemah. Jadinya nak sambut dia balik dan nak bagi ibunya kembali berselera, anak dia pun masak rendang tok. Kami balik Pendang ambil pekasam dari rumah kak aku. Aku pula kononnya nak buat 2 biji kek mentega. Ha la wei, buat satu takut tak cukup pulak bila berkumpul ramai-ramai ni. Kami bertolak pagi Jumaat, aku ambik cuti la. Sebabnya kalau pi Sabtu balik Ahad risau pulak Yusuff kepenatan. Jadinya, aku dan rancang la nak buat kek malam Jumaat tu. Bakaq dalam Noxxa sat saja.

Kisahnya, Yusuff la ni dah mula menyibuk di dapoq. Jadi kerja-kerja membuat sebiji kek yang bermula pukul 830 malam lebih kurang, pukul 11 lebih baru siap dibakaq. Kek pertama kek mentega dibuat marble 3 warna. Semua mangkuk adunan dengan pewarna dia nak tolong kacau dan tuang. Lambat la jadinya kerja aku. Bagi Yusuff tidoq dulu la. Kalau dak pakai tak jadi hat nombor dua. Nak bagi tidoq Yusuff dengan aku sekali la tidoq jadinya. Bangun 1 pagi. Tak upaya la nak buat kek marble dah, leceh nak bahagi 3 adunan, nak campoq serbuk koko la pewarna la. Nak tuang lagi berselang-seli. Jadi aku pun cari idea kek mentega yang ringkas, siap sekali tuang saja. Itu yang pi buat Kek Mentega Oren. Ubah suai sikit la dari resepi di blog My Kitchen Snippets. Sebabnya mentega dia pakai batang tu 227g, mentega aku satu blok 250g. Malas dah nak berbaki, aku masuk saja satu blok tu. Dan aku tambah susu segar dan ovalette dalam adunan serta gula dikurangkan. Sapa nak try resepi aku dipersilakan ya. Kek ni lembut dan gebu-gebas.


Nampak dak kegebuan dia?

Kek Mentega Oren

250g mentega (dibiarkan pada suhu bilik 1 jam supaya lembut)
180g gula pasir halus
270g tepung gandum
2 cmt baking powder
4 biji telur besar
parutan kulit 1 biji oren
5 cmb perahan jus oren
1 cmb ovalette (pilihan)
4 cmb susu segar (pilihan)

Cara membuatnya
1. Ayak tepung gandum dan baking powder. Kalau rajin boleh ayak 2-3 kali.
2. Parut kulit limau. Parut elok-elok jangan ambik sekali yang spongy tu. Pahit.


3. Perah jus oren dan Tapis. 5 cmb tu tak sampai sebiji pun. Lebih tu aku telan la. Haha


4. Pukul gula dan mentega sampai kembang. Gula hancur sepenuhnya dan warna adunan krim. Gula pasir halus ni sekilo mahai sekupang daripada gula pasir biasa. Atau kalau hampa kaya boleh guna gula kastor.




5. Masukkan ovalette. Masukkan sebiji telur. Pukul adunan dengan kelajuan tinggi sebab nak kembangkan telur dan nak sebatikan ovalette yang pekat tu dengan adunan. Tambah telur satu persatu diselang seli dengan pukulan sampai kembang. Lepas semua telur dah dimasukkan pukul lagi 3-4 minit dengan kelajuan tinggi.
6. Masukkan tepung 3 kali, diselangselikan dengan jus oren dan susu. Boleh guna senduk untuk gaul atau macam aku guna mixer tapi kelajuan paling rendah.
7. Masukkan adunan dalam inner pot Noxxa. Hentak 1-2 kali. Steam dalam Noxxa 27 minit, lepas habis tempoh nya biarkan dalam periuk tu selama 5 minit. Guna lidi untuk tengok sama ada kek dah cukup masak.
8. Keluarkan inner pot, rehatkan dalam 10 minit. Keluarkan kek dan sejukkan.




Monday, September 19, 2016

Mirza Ghassemi



Nama sedap aihhh...boleh la ambik buat nama watak hero novel lepas ni hehe. Mirza ghassemi ni hidangan pembuka selera dari Parsi. Jenih macam salad gitu. Sangat berkhasiat, makan saja sedap, cicah roti pun sedap, jadi lauk nasi pun sedap juga. Bahan utamanya terung, tomato dan telur. Kalau yang tengah berdiet rendah karbohidrat pun sesuai juga makan ni. Potong timun dan cicah mirza ghassemi. Sihat sangat! Aku ambik  resepi dari blog mypersiankitchen dan diubahsuai mengikut bahan yang ada didapur. Selagi mana kita tau bahan yang equivalent dengan bahan yang disebut dalam resepi.

Bahan-bahan
4 biji telur
2 biji terung besar
6 biji tomato, dicincang
2 cmb bawang putih yang telah ditumbuk halus
2 cmt serbuk kunyit
garam
lada hitam ditumbuk
1/2 cawan minyak zaitun (light, jangan guna extra virgin)

Cara membuat:
1. Cucuk-cucuk terung dengan garfu. Panggang terung sampai lembut lebih kurang 20 minit. Buang kulitnya. Tunggu sejuk dan lenyek isi terung.
2. Sementara tunggu terung sejuk tumbuk bawang putih sampai halus jadi puri.
3. Pecahkan telur, Perasakan dengan garam dan lada hitam. Pukul telur sampai berbuih frothy.
4. Panaskan separuh minyak. Tumis puri bawang putih, Kacau biar masak rata. Jangan sampai hangit sudah. Masukkan serbuk kunyit, kacau lagi 4-5 minit. Tuang telur dan kacau. Masak macam telur hancur.
5. Bila telur dah masak angkat telur. Tuang baki minyak. Masukkan tomato dna isi terung. Kacau rata. Masukkan lada dan garam.
6. Masak dengan api sederhana panas dengan periuk bertutup sampai campuran tu hampir kering. masukkan semula telur hancur dan kacau rata sehingga semuanya campur elok. Tutup api dan mirza ghassemi sedia untuk dinikmati.

Wednesday, September 14, 2016

Kek Minyak Noxxa

Dah dekat setahun aku guna periuk tekanan Noxxa ni. Dulu masa masih belajar beli periuk tekanan manual. Yang letihnya bila kena kawal api dapur sendiri. Bila tekanan tinggi kena matikan api. Masa pun nak kena pandai tengok. Lama jugak dok fikir nak beli tak beli periuk tekanan Noxxa ni. Bukan apa, dah ada yang lama. Tapi bila fikir tak gaduh nak kawal api dan jaga jam ku teruskan juga niat dihati. Hehehe

Biasanya guna periuk ni untuk masak sup, nasi-nasi beraneka jenis, pizza dan pasta. Cepat siap. Masak nasi lemak tak sampai 15 minit. Tapi untuk raya haji ni aku cuba masak kek minyak. Dah ramai orang cuba bakar kek guna periuk ni dan mendapat hasil yang diingini. Jadi, rasanya kena la cuba jugak kan. Aku guna resepi kek minyak saja. Untuk percubaan kan. Hasilnya kek memang gebu, tapi pastikan telur dan gula dipukul kembang la. Hampa boleh cuba la. Takdak Noxxa pun boleh aihh. Guna oven biasa atau kukus. Takdak masalah. Periuk Noxxa hanyalah alat. Tapi guna periuk ni tak gaduh la guna oven dan tin pembakar kek dah. Senang!

Gebu!

Kek Minyak

5 biji telur
1/2 cawan gula kastor
1 cmb ovallette
1 cwn susu pekat
1 cmt esen vanila
1 cwn minyak
2 cwn tepung gandum
2 cmt baking powder
2 cmb pati oren/mangga @sunquick(tak mau pun takpa)
Pewarna yang sesuai
Sedikit garam

Untuk pes coklat atau boleh ganti dengan chocolate emulco
2 cmb serbuk koko
4-5 cmb air panas
1 cmt serbuk kopi segera (jadi pes mocha- tak mau pun takpa)

Cara membuat:
1. Bancuh pes koko/mocha kalau tak mau guna emulco.
2. Ayak tepung, baking powder dan garam halus (boleh ganti dengan tepung naik sendiri).
3. Pukul telur, ovallete dan gula sampai kembang menggebu. Masukkan susu dan esen vanila. Pukul lagi.
4. Masukkan minyak. Kacau rata.
5. Masukkan tepung gandum dan gaul rata. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan gaul dengn pewarna/pes/emulco. Adunan yang kosong digaul dengan sunquick/pati oren@mangga.

Buat corak sikit.

6. Tuang dalam inner pot noxxa.
7. Steam 30 minit. Bila dah cukup 30 minit guna lidi untuk tengok kek dah masak. Kalau belum masak tambah la masa steam lagi 3 minit. (update: kalau nak kurangkan kegaringan boleh set steam 25 minit. Habis masa tu tekan butang off dan biarkan periuk selama 5-10 minit, jangan dibuka lagi)
8. Keluarkan kek yang dah masak dan sejukkan.
9. Boleh bakar biasa guna loyang 9 inci. Lenser dengan mentega dan alas dengan baking paper. 170°C selama 40 minit atau kukus 45 minit.


Corak pi mana habih dah

Wednesday, February 20, 2013

Roti Kesot (kembar tak serupa peknga/lempeng kelapa)

Pernah dengaq nama makanan roti kesot? Tak pernah? Takpa, hidup tetap bermakna walaupun tak tau menatang apa roti kesot ni. Walaupun roti kesot ni dimakan oleh aku dan keluargaku di Kedah, ada jugak orang Kedah tak pernah dengaq nama ni. Kalau pernah makan lempeng kelapa atau peknga sebagaimana namanya di utara, roti kesot ni lebih kurang macam tu la. Cuma namanya roti kan, jadi adunan tu tak lembik macam peknga, sebaliknya macam doh roti. Sebab tu namanya pun roti kesot.

Kalau peknga lebih menyerupai pancake dari segi bancuhan, roti kesot pulak adalah daripada jenis flatbread. Bahan asas flatbread adalah tepung, air dan garam, dalam kes roti kesot ini doh asas ini ditambah dengan nyoq muda. Tapi jangan cari nyoq muda hat beringus tu, kalau yang tu macam mana nak kukoq kan?

Nak buat roti kesot ni senang saja, tapi nak cari nyoq muda tu yang susah.

Bahan-bahan:
Tepung gandum
Nyoq muda/kelapa muda diparut
ayaq
Garam

- Anggaran tepung ngan nyoq ni, mungkin sama banyak atau nyoq dilebihkan. Jangan terlebih tepung nanti keras pulak.
Gaul rata tepung, nyoq dan garam. Lepas tu tuang ayaq sikit-sikit sampai boleh bentuk doh roti. Jangan keras sangat, satgi boleh buat piring terbang, patah gigi nak mengunyah. Lepas tu biaqla doh tu dulu, sejam dua ka.


 Lepas beberapa lama (istilah kedah dipanggil tahaq), boleh la dicanai dengan tangan atau guna penggelek tepung.

Lepas tu bakaq la macam bakaq roti canai tu, nak wangi guna la minyak sapi.  
 

Tada! Dah siap, boleh la dimakan, tak kira pagi, petang atau malam. Roti kesot boleh dicicah dengan kuah-kuah macam gulai ikan, sambal bilis atau sardin. Jangan lupa kopi panas buat peneman. Enak! :)

Thursday, March 29, 2012

Resepi: Peria Goreng Rangup


Benda alah ni selalunya ada kat kedai mamak. Tapi sebab aku bukanlah pengunjung tetap kedai mamak, jadi tak pernahlah aku merasa di kedai. Namun demikian, tetaplah tergedik-gedik jugak nak buat sebab la ni kena pantang sotong goreng tepung. Kegatalan menyerang! Jadi, la ni gantilah sotong dengan peria. Lagipun peria ni lebih murah dan tak meletup-letup semasa digoreng. Ok la tu, kecantikan kulit tetap terpelihara ketika menggoreng. Rasa pun sedap, rangup-rangup pahit. Macam kerepek pisang terlebih garing yang aku suka hehehhehe

Bahan-bahan:
Peria (boleh guna peria biasa atau peria katak) - dibasuh sebelum potong nipis-nipis melayang
Tepung - aku guna tepung goreng yang biasa diguna untuk cucoq pisang, tepung ni campuran tepung beras, tepung jagung dan baking powder.
serbuk kunyit
Serbuk jintan
Serbuk ketumbar
Serbuk cili/tandoori
Garam
sedikit air

*serbuk-serbuk ni letak la dalam satu camca teh, agak-agak bagi ada rasa. Tepung tu bagi menyalut tepung, kerangupan tepung dicampur dengan kegaringan peria yang nipis tu. Perghhh!!!

Caranya:
1. Gaul semua bahan kering. Gaulkan peria dengan campuran tepung.
2. Tuangkan air sikit-sikit sambil menggaul supaya tepung tu menyaluti kepingan peria tu.
3. Perap sat. Lepas tu goreng sampai garing dengan minyak banyak. Depa kata goreng terendam.

Ni tepung tak berapa banyak ni.


aku guna tepung ni, tepung cap tangan. sekampit RM1ni tepung banyak, rangup. piawww punya!

Monday, March 05, 2012

Resepi: Sayur Tauhu Teja


Gambar sangat tidak menarik. Maaflah, kamera telepon yang berapa sangat reganya. Ini adalah sayur campur dan tauhu lembut yang digoreng dengan campuran rempah. Kenapa aku goreng sayur dengan rempah. Sebab tak mau rasa sayur ni bland sangat, lagipun tauhu pun macam tak ada rasa kan? Kenapa Teja? Saja-saja buat resepi sendiri, dengan bahan dan rasa tersendiri. Jadi, untuk menjadi teja mestilah ada campuran serbuk ketumbar, jintan dan jeruk cili. Sayur yang digunakan mestilah ada campuran warna. Rasanya ada tidak memboringkan, ada sedikit infusion dengan cuka. Aku gunakan jeruk cili home-made buatan Tetah (kakak). Stok jeruk cili sangat banyak, boleh lah hubungi aku kalau nak. Cili yang digunakan adalah cili padi yang kecik tu, dengan tahap kepedasan melampau. Jadi, jangan letak banyak-banyak.


Jeruk cili, sedap jugak dimakan dengan nasi kerabu

Aku ni sedang belajar untuk makan menu-menu yang sihat. Jadi, inilah hasilnya supaya tak jemu.

Bahan-bahan:
1 peket tauhu lembut - diperap dengan kicap untuk memperisakan tauhu
1/2 batang lobak merah
40g kacang (snow pea)
1/4 pelepah brokoli
1/2 biji tomato
3 ulas bawang putih-dicincang (aku suka bawang putih, boleh tambah lagi)
1/2 cmt serbuk ketumbar
1/2 cmt serbuk jintan (cumin)
1/2 cmt jeruk cili burung-pedas menggila. kalau tak tahan pedas letak sikit saja. kalau letak cili biasa tak ada la rasa sayur infused dengan cuka sikit.
1 cmb minyak zaitun
sos ikan (nampla) - sos ni pengganti garam
sedikit air

Cara membuatnya:
1. Masukkan bawang putih dalam kuali, panaskan kuali. Masukkan minyak zaitun. Minyak zaitun ni jangan dipanaskan tanpa bahan menggoreng sebab nanti sebatian kimianya bertukar menjadi minyak yang dah tak sihat.
2. Masukkan serbuk ketumbar, serbuk jintan dan cili jeruk. Goreng 1-2 minit.
3. Goreng tauhu sampai masak dengan api sederhana. Tutup kuali. Dah masak, angkat tauhu.
4. Guna kuali yang sama, goreng lobak merah. Tuangkan sedikit air dan tutup kuali 2-3 minit supaya lobak separuh masak.
5. Masukkan sayuran lain. Kacau rata. Tutup kuali 2-3 minit lagi supaya sayur sedikit lembut tapi jangan sampai lembik sangat. Masukkan sos ikan, Kacau dan rasa. Tambah sos ikan jika perlu.
6. Sedia untuk diratah sebagai hidangan makan malam. :-)

Sunday, March 04, 2012

Resepi: Sotong Goreng Tepung


Ni salah satu makanan kegemaran yang masih belum boleh dikorbankan demi kesihatan huhuhuhuhu.. sotong goreng tepung ada dua, satu lagi yang depa buat macam cucoq sotong. Aku tak suka yang tu. Kalau cucoq ikan takpa.

Bahan-bahan
Sotong segar - lebih segar lebih baik. Sotong dipotong gegelang.
Tepung gandum
Oat
Telur - dipukul. telur ni nak melekatkan tepung kat sotong tu.

1. Tepung gandum dan oat digaul rata.
2. Sotong dicelup (dicicah ke apa?) dalam telur dan digolek-golek dengan campuran tepung dan oat.
3. Goreng dalam minyak panas. Bagi dia masak dan tepung dah keras sikit baru balik-balikkan sotong. Hati-hati semasa menggoreng sebab akan mungkin akan berlaku letupan minyak panas.
4. Goreng sampai garing. Angkat, tos dan hidangkan. Sedap diratah, dicicah dengan sos cili, aku tak letak garam sebab nanti nak cicah sos pulak.

Boleh juga kalau cuma nak golekkan sotong tu dengan tepung saja dan terus goreng, tapi nanti minyak penuh tepung la dan sotong tak bersalut sangat. Kalau celup telur dulu, tepung tu melekat elok saja.

Saturday, May 21, 2011

Resepi: Kek Coklat Lembab



Resepi ni daripada Internet, sweet^bee IGNet dan ubahsuaian sendiri. Terpaksalah pandai-pandai sendiri mengikut kesesuaian bahan yang ada. Kek ni dikukus, jadi memang sangat lembab, tapi makan banyak jadi muak pulak. Silalah tengok tekstur kek dari dekat hehehehehe


Bahan-bahan: (dulang pembakar 8 inci, kalau tak mau tebal sangat guna la 9, tapi pengukus aku muat 8 inci saja)

1 cawan gula
1 cawan susu segar
1 cawan minyak
3/4 cawan serbuk koko
1/2 cawan susu pekat manis
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
3 biji telur

Cara-cara
1. Ayak tepung, soda bikarbonat & baking powder
2. Masukkan serbuk koko, gula, susu segar, susu pekat dan minyak ke dalam periuk dan panaskan di atas api kecil sehingga semua larut. Matikan api.
3. Pukul telur hingga kembang dan masukkan ke dalam bancuhan koko.
4. Masukkan tepung sedikit sedikit dan gaul sebati.
5. Tuang ke dalam loyang yang telah di lengser dengan minyak/ lapik dengan kertas minyak.
6. Tutup loyang dengan aluminium Foil dan kukus selama 1 jam atau sampai masak dalam kukusan yang telah dipanaskan.
7. Angkat dan sejukkan.


Coklat Topping
1 cawan susu pekat
60 gm butter
50 gm serbuk koko

1. Kacau secara double boiler sehinga larut dan sejukkan sekejap.
2. Tuangkan atas kek. Bolehla hiasa kek sesuka hati.

Tuesday, May 17, 2011

Resepi: Caponata (Terung goreng tomato, seleri, capers dan buah zaitun)

Hidangan Mediteranean dari Sicily, Itali. Rasa macam boleh masuk la makan caponata ni sebab kita pun biasa makan terung kan. Cuma ada la beberapa bahan yang rasanya susah nak dapat kat Melesia. Sekali sekala ada offer terung murah kat Lidl aku pun beli la. Kadang-kadang masak sambal, pernah jugak goreng celup teloq dan makan cicah sambal belacan. Ah, dalca dan pajeri terung jangan dilupa pulak. Rupanya depa kat mediteranean ni lebih pelbagai masakan terung, sayur utama la kiranya. Caponata ni kira makanan sihat, sebab banyak sayoq. Kalau makan dengan nasi pun boleh, nak makan ngan ikan saja tanpa nasi pun boleh.

Aku pernah masak caponata ni dulu, tapi resepi yang aku masak tu ambik dalam sotkabaq saja. Kali ni cuba resepi Rick Stein pulak daripada buku dia Mediterranean Escape. Aku tak ikut sangat sebenarnya resepi dari segi ketepatan berat bahan, dan ada bahan yang ditambah ikut keperluan macam serbuk cili. Rasa hidup tak sempurna tanpa cili hahahahaha!

Tapi kalau ikut kata Nigel Slater, resipi ni sekadar panduan, terpulang la pada kita nak mengolah pun boleh. Sebab tu la satu masakan boleh ada pelbagai versi kan? Tapi kalau nak buat kek, eloklah ikut sukatan dulu, lepas tu baru tukaq mana-mana yang patut. Sebab kita ka kena paham apa fungsi setiap bahan dan kesannya kalau kita tukaq ikut suka hati. Wah! Aku rasa macam salah bidang pulak. Macam kena buat PhD dalam food engineering ni hahahahaha!





sebiji terung-(aku agak dalam 250g kot sebab agak besaq saiznya) potong dadu
1 labu bawang besar di hiris - nak dadu pun boleh tapi kecik-kecik la
2 batang seleri-potong dlm 1cm
4 biji tomato-dicincang (atau boleh guna tomato dalam tin)
1-2 cmb cuka
1 cmb gula
1 cmt capers- rendam dan basuh (capers ni sejenis tumbuhan mediteranean, biji-biji dan selalu dimasak dgn hidangan melibatkan ikan)
segenggam buah zaitun (aku suka buah zaitun jadi letak banyak, boleh kurangkan kalau tak suka) - dipotong suku memanjang
garam dan lada hitam
minyak zaitun - dalam 100ml tapi boleh tambah kalau perlu
chili flakes-aku memandai saja tambah


1. Terung tu potong lebih kurang 1.5cm. Gaul dengan garam, pastu letak dalam penapis sebab nak keringkan.
2. Panaskan separuh minyak, goreng terung sampai lembut (lembut tau bukan lembik). Angkat dan asingkan. Masa goreng terung ni kadang-kadang nampak kering jadi tambah la sikit lagi.
3. Tuangkan baki minyak tadi, goreng bawang lebih kurang 10 minit sampai lembut dan hampir garing (warna cekelat). Masukkan seleri, goreng lagi lebih kurang 5 minit.
4. Tuangkan cuka, masak lagi sampai macam dah mendidih gitu. Masukkan tomato, gula, garam, lada hitam dan cili flakes. Tu dia! Tak cukup lada, masuk cabai lagi.
5. Kacau, tutup kuali dan merenih dalam 20 minit, sebab nak lembutkan seleri tu.
6. Masukkan capers, buah zaitun dan terung. Kacau rata dan sesuaikan rasa supaya tiada yang terkurang mahupun terlebih.
7. Boleh dihidangkan panas dengan nasi, atau macam aku makan tu dengan ikan panggang. Kalau sejuk boleh jadi antipasti.

ini adalah rupa capers tu, gambar kucilok dari sini


Thursday, April 14, 2011

MYO- Baked beans

Pagi Sabtu yang kudus, aku cuba masak baked beans, tapi bukanlah from scratch. Tetiba muncul keinsafan nak mengurangkan pengambilan kalori, karbohidrat dan unsur-unsur yang membahayakan kesihatan. Baked beans dalam tin tu bukan ka penuh dengan garam-garam dan gula? Jadi, konon-konon sarapan ala omputeh la ni. Kata ahli pemakanan kalau kita makan protein waktu pagi takla cepat lapaq sangat menjelang tengah hari.

Bahan-bahan utama-kacang canellini dalam tin (tak koser nak merendam dan merebus kacang kering), tomato, isi ayam, bawang besar dan bawang putih. Garam dan lada sebagai perasa jangan dilupa pulak. Roti tu ikut sukala nka jenis mana pun, kalau nak roti perancis tu pun boleh takdak masalah.

Kacang segera dan tomato yang dah dicincang.


Tumis bawang-bawang dan daging ayam.


masukkan tomato, pastu masak sampai tomato tu lembut. Masukkan kacang dan kasi rasa.
Percubaan pertama buat poached egg dalam air. Biasanya masak dalam oven mikro, tapi masak guna oven macam tak best sangat teksturnya. Fail! Ayaq sikit sangat sebab patutnya paras ayaq tu menenggelamkan teloq. Teloq kuning sepatutnya berbungkus teloq putih. Tapi teksturnya lembut la. Sedap!
kalau nak kat internet macam-macam video ada tunjuk nka buat poached egg ni. Salah satunya klik sini

jangan lupa panas roti tu dulu kasi garing. Letak kacang dan telur. Siap! hehehehehe

Thursday, February 10, 2011

Resepi: Kek Seri Mangga

OK, back to business hehehehehe. Kek ni merupakan salah satu kek yang aku jual. Menggunakan kek span dan dilapisi dengan keju krim atau mascarpone, potongan buah mangga dan kat atas tu tuang la puri mangga.

Resepi ni menggunakan 1 bekas pembakar 7 inci yang dalam.

Bahan-bahan:
175g gula caster
175g tepung naik sendiri
175g mentega atau marjerin (suhu bilik)
3 biji telur sederhana-besar
1 cmt esen vanila

25g gula aising
250g keju mascarpone/keju krim
300ml double cream
1 biji mangga besar-dipotong dadu kecil
puri mangga

Cara:
1. Panaskan oven 180, 10 minit sebelum membakar. Gris dulang pembakar. Ayak tepung.
2. Mesin mentega/marjerin dengan gula sampai berkrim. Boleh juga dipukul dengan senduk, yang penting mustilah kembang, nampak berkrim.
3. Masukkan telur, kemudian masukkan esen vanila. Masukkan tepung sikit-sikit dan kaup balikkan adunan.
4. Lagi satu cara, boleh juga pukul telur dengan esen vanila sampai kembang. Masukkan bergilir-gilir telur dan tepung ke dalam adunan mentega-gula, kaup balik sampai adunan sebati.
5. Tuang adunan ke dalam tin pembakar. Ratakan adunan, gunakan belakang sudu dan tekan sikit kat tengah.
6. Bakar 45 minit, atau sampai masak. Sejukkan kek.

Penyediaan krim dan kerja melapis
1. Putar double cream sampai jadi soft peak. Pukul gula aising dengan keju krim sampai kembang, campurkan keju dan double cream, kacau sebati.
2. Potong kek menjadi kepada 3 lapisan. Bahagikan krim kepada 4 bahagian. Guna krim dan mangga untuk filling setiap lapisan. Sapukan juga krim pada bahagian luar. Sejukkan dalam peti sejuk atau dibiarkan sehingga adunan krim set.
3. Tuangkan puri mangga pada atas kek. Sejukkan kek sebelum dihidangkan.

Friday, January 07, 2011

Resepi: Cannelloni Ayam dan Bayam (Chicken and Spinach Cannelloni)


Wah! Italiano la pulak kali ni kan. Cannelloni pasta berbentuk tiub dan disumbat isi kat dalam tu. Tapi memandangkan cannelloni agak mahal, dan kat rumah dah ada stok lasagna, aku gunakan kepingan lasagna saja yang digulung. Lagipun pasta ni rasa lebih kurang ja, cuma berbeza bentuk ja kan. Beza pun antara guna jenis tepung la, yg lain tu kalau durum wheat tu sama saja rasanya. Untuk sumbat dalam tu aku guna daging ayam cincang, bayam dan keju. Biasanya orang Itali guna ricotta ngan parmesan, tapi aku guna mascarpone saja sebab dah ada dalam peti es dan nak expired dah. Keju tabur pun aku guna cheddar parut saja, tak beli pun parmesan. Alah rasa lain sikit tapi tetap la keju kan kan kan?



Ok meh kita setat.

Bahan:
6 keping lasagna - rebus untuk melembutkan supaya boleh digulung tapi tak perlu masak sangat.
Segenggam bayam frozen (harusler sukatan ala-ala zaman dulu) - aku guna bayam frozen, kalau nak guna fresh kena celur sikit. Agak-agak 4-5 camca besar kalau yg dah dicelur kot.
Daging ayam cincang-dimasak dengan sedikit minyak
125g Keju mascarpone - lebih kurang setengah tub, biasanya ricotta ngan parmesan
2 cmb keju cheddar parut

sos pasta tomato
keju cheddar untuk ditabur



Caranya:
1. Campurkan isi ayam, bayam dan keju dan gaul sebati.
2. Gulung isi dalam setiap kepingan lasagna.
3. Tuangkan sos pasta tomato dalam bekas nak bakar. Susun cannelloni dalam tu. Tuangkan lagi sos pasta kat atas cannelloni. Taburkan keju parut. Bakar lebih kurang 25-30 minit, 180 darjah.
4. Dah masak boleh la test tengok pasta dah lembut ke tak.

Tuesday, January 04, 2011

Resepi: Nasi Bungkus Daun Anggur (Stuffed Vine Leaves)


Apa ntah nama yang sesuai untuk benda alah ni dalam bahasa kita, kalau ikut terjemahan daun anggur sumbat. Macam tak tersumbat pun, kalau lada sumbat tu nampak sesuai jugak, tak gitu?

Selalu merasa nasi daun anggur masa buka posa di SUMSA, geng-geng Lubnan, Mesir dan Iraq yang dok bawak. Tapi, bila tak bulan posa pun teringin jugak. Kena buat la kan. Nasi ni hidangan di negara Mediteranean/Arab, tapi resepi berbeza ikut negara la. Ala macam laksa la, bahan berbeza ikut negeri kan...selain daun anggur, nasi ni boleh disumbat dalam lada benggala yang bulat tu, bawang atau kentang. Kalau yang tu baru namanya sumbat.


Stuffed Vine Leaves

Bahan
Daun anggur - aku guna yang dah dibotolkan, takdak pokok depan umah
1 1/2 cawan beras - basuh
daging ayam cincang (daging lain pun boleh) - aku main taruk je dalam segenggam gitu
1 labu bawang besar - dicincang
2-3 biji tomato - dicincang
1 cawan daun parsli - dicincang
serbuk kayu manis
daun pudina kering
minyak masak
jus lemon (limau pun ok)
garam
lada serbuk

Cara:
1. Basuh daun anggur. Daun tu depa rendam dalam air garam dan cuka jadi kena la basuh dulu. lepas tu bagi kering airnya.
2. Tumis bawang. Masukkan daging cincang dan masak sampai keperangan.
3. Masukkan tomato cincang. Kacau.
4. Masukkan beras, kacau lagi.
5. Masukkan serbuk kayu manis, parsli, daun pudina, garam dan lada. Kacau lagi dan masak sampai kering. Masukkan jus lemon, kacau. Padamkan api dan sejukkan. Beras tak perlu masak sangat sebab nanti nak kukus pulak.


6. Bentangkan daun anggur, bahagian belakang daun akan dibungkus ke dalam. Buangla tangkai-tangkai yang berlebihan.



7. Bungkus nasi, kalau ada lebih boleh sumbat dalam lada yang dah dibuang biji.
8. Alas periuk/kuali dengan daun kalau ada lebih. Susun nasi bungkus dalam tu. Tutup dengan pinggan supaya daun tak terbuka.


9. Isi air separas nasi, masak lebih kurang 45 minit- sejam. Jangan sampai kering dan hangit pulak.
10. Dah masak, boleh la dihidangkan. Nasi ni tak perlu belah, makan suap gitu je. Aku belah sebab nak tunjuk isinya.


Friday, December 31, 2010

Resepi: Daging Masak Goulash (Beef Goulash)


Goulash ni berasal daripada perkataan Hungary - gulyas. Ala-ala stew la jugak, boleh jugak dicairkan kuahnya untuk menjadi sup ala-ala minestrone. Resepi ni diubahsuai daripada buku Winter Warmers, untuk selera aku perlu ditambah cabai kering. Kalau ikut lidah depa ni langsung tak pedas la...

Bahan-bahan
2 cmb minyak
1 labu bawang besar-dicincang
1 ulas bawang putih-diketuk
1 cmb cabai kering mesin
750g daging batang pinang-dipotong tebal lebih kurang 1"
2 cmb paprika - paprika memberi warna merah, tapi tak pedas
1 tin (425g) tomato cincang
2 cmb puri tomato
1 biji lada benggala-dipotong-potong
175g cendawan- dihiris (agak-agak saja cendawan ni, nak tambah atau kurang pun boleh)
600ml air rebusan daging-atau boleh gunakan air dan kiub pati daging saja
1 cmb tepung jagung dibancuh dengan 1 cmb air
4 cmb yogurt-untuk dihidang dengan nasi (nak boleh tak nak pun takpa)
paprika, untuk ditabur
daun parsli- dicincang , untuk hiasan

Sayur tambahan (pasai nak menghabihkan stok):
Kentang
Courgette

1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih selama 2-4 minit. Depa ni bukan jenis tumis tumis sampai garing, cukup bagi bawang lembut saja. Masukkan cabai kering dan masak lagi.
2. Masukkan daging, kacau rata dan masakkan dengan api yang besar sampai keperangan, lebih kurang 3-4 minit. Pastu perlahankan api, masukkan paprika dan kacau rata. Masukkan tomato, puri tomato, lada benggala, kentang, courgette dan cendawan. Masak lagi lebih kurang 2 minit sambil dikacau-kacau.
3. Masukkan air rebusan daging dan masak sampai mendidih. Kurangkan api dan renihkan sampai daging empuk. Kalau potong daging nipis sikit, lebih cepat masak, tapi jangan nipis sangat.
4. Tuangkan bancuhan tepung jagung dan kacau sampai pekat dan sebati semuanya. Masak lagi lebih kurang 1-2 minit, masukkan garam dan lada secukup rasa.
5. Sendukkan yogurt ke dalam mangkuk, taburkan paprika.
6. Goulash ditaburkan dengan daun parsli, dimakan dengan nasi dan yogurt.

Friday, November 05, 2010

Kek Epal dan Bingkah Coklat (Apple and Chocolate Chunk Cake


Kisahnya, resepi kek ni aku ambik daripada Iman si budak Saudi itu. Dia pulak katanya ambik resepi ni daripada kawannya dari Austria. Jadi, sebagai tradisi berkongsi ilmu, aku tepek la pulak kat sini untuk disebarkan ke serata alam. Resepi asalnya diberi dalam sukatan ml sebab sahabat aku menggunakan penyukar cecair tu. Aku telah menukarkan sukatan kepada sukatan metrik.


170g mentega-suhu bilik
170g gula (gula kat sini granulnya halus-halus tak macam di kampung halaman tercinta, jadi sila la mesin sikit kasi halus...bukan kasi jadi serbuk tau...ala-ala gula kaster tu..mokata malaih sangat beli la gula kaster tapi mahai la)
4 biji telur saiz besar (5 kalu sederhana)
1 cmt baking powder
280g tepung naik sendiri (kalau pakai tepung biasa guna 1 camca besar)
5 biji epal merah sederhana-kupas, buang empulurnya dan potong dadu lebih kurang 1-1.5 cm.
parutan 1 oren
jus sebiji oren
1 ketul 200g coklat susu - kena patah-patahkan kepada bingkah yang kecik, jangan kecik sangat nanti dia cayaq pulak

1. Gaulkan epal, parutan kulit oren dan jus oren. Lenser tin pembakar kek ( aku pakai yang patsagi 26 x 19 cm). Ayak tepung ngan serbuk penaik.
2. Mesin mentega sampai lembut, masukkan gula mesin sampai kembang. Masukkan telur, satu demi satu, mesin rata lepas masukkan setiap telur.
3. Panaskan oven 180/gas 4.
4. Masukkan tepung dengan teknik kaup balik tu. Adunan dia agak pekat.
5. Masukkan epal dan bingkah coklat.
6. Bakar selama 50 minit, atau sampai masak. Macam biasa sila uji kemasakannya dengan menggunakan lidi. Kalau kena tambah masa, tambah setiap 10 minit dan tengok lagi masak ka dak. Kalau lepas 10 minit tak masak lagi, kurangkan suhu dan tambah masa.
7. Dah masak, bolehla dikeluarkan. Biarkan sejuk dalam 10 minit baru keluarkan. Sila berhati-hati supaya kek tak patah. Sejukkan atas redai kek. Ayak gula aising/serbuk atas kek tu.
8. Potong tebal sikit sebab kek ni ada epal dan bingkah coklat. Boleh dihidangkan begitu saja, atau dengan krim putar, atau dengan aiskrim :)

Friday, October 22, 2010

Resepi: Kek Baldu Merah (Red Velvet Cake) versi 2


Agak ramai yang sampai ke blog dengan carian resepi kek baldu merah atau nama berlagaknya reda velvet cake. Resepi ni adalah resepi versi lain sikit daripada yang aku post sebelum ni dari segi cara campuran sesetengah bahan. Bahan-bahan lebih kurang sama la. Resepi yang ni adalah daripada web Joy of Baking. Yang dalam kurungan tu ikut resepi asal.

Bahan-bahan kek
2 1/2 cawan tepung gandum (tepung kek)
1 1/2 cawan gula (sorry la sebelum ni terlupa nak tulis gula ni)
1/2 camca teh garam halus
2 camca besar serbuk koko
1/2 cawan mentega tanpa garam, suhu bilik - jangan letak garam kalu guna mentega biasa
2 biji telur saiz besar
1 camca teh esen vanila
1 cawan, lebih kurang 240-250 ml buttermilk-kat tempat aku kalau beli buttermilk tu 284ml, aku gunakan perabih je kadang-kadang, simpan pun nak buat pa.
2 camca besar pewarna merah
1 camca teh cuka putih
1 camca teh baking soda

Bahan Krim Keju
300 ml (360ml) krim putar
1 tub-200g/250g keju krim, suhu bilik (227g)
250g keju mascarpone, suhu bilik (227g) - boleh pakai keju krim biasa kalau susah nak dapat mascarpone. Mascarpone ni keju krim jugak, tapi italian style.
1 cmt esen vanila
1 cawan gula aising

Cara membuat kek:
1. Leser 2 dulang kek 9-inci yang nipis. Alas dengan kertas.
2. Panaskan oven 175 darjah C lebih kurang 10 minit sebelum membakar.
3. Ayak tepung, garam halus dan serbuk koko. Ketepikan
4. Putar mentega sampai lembut (1-2 minit, boleh lebih kalau mentega keras). Masukkan gula dan putar sampai kembang membuak-buak (betul ke ni? 'fluffy'). Anggaran 2-3 minit. Jangan lupa adunan yang terpercik tu kena kikis la jangan dibiarkan.
5. Masukkan telur satu demi satu. Setiap kali lepas masuk sebiji mesin dulu sampai rata. Dah abih semua telur, kikis adunan tepi-tepi mangkuk tu. Masukkan esen vanila.
6. Campur pewarna merah ke dalam buttermilk. Gunakan kelajuan rendah, masukkan adunan tepung dan buttermilk secara bergilir. Mula-mula masuk buttermilk, tepung pastu buttermilk.
7. Campurkan cuka dan baking sodan dalam cawan kecil. Masa campur tu nanti bunyi berdesit-desit la macam buat eksperimen kimia tu. Terus tuang dalam adunan kek.
8. Bahagikan adunan sama rata dalam tin pembakar kek tu. yang ni kena buat cepat-cepat sebab kalau lama-lama takut kesan-kesan soda+cuka+cecair adunan tak berkesan sangat. Ratakan adunan tu guna belakang senduk/sudu.
9. Bakar lebih kurang 25-30 minit, sila cucuk dulu kek tu nak tengok dah masak atau belum.
10. Dah masak, keluarkan kek. Sejukkan lebih kurang 10 minit pastu terus keluarkan daripada tin dan disejukkan. Bila dah sejuk, boleh la balut ngan plastik tutup makanan tu, masukkan dalam peti es untuk memudahkan proses pemotongan nanti.


Cara membuat krim keju
1. Putar kedua-dua keju tu sampai kembang.
2. Masukkan esen vanila dan gula aising.
3. Putar pulak krim putar sampai dapat soft peak. Sendukkan krim ke dalam campuran keju. Kacau dengan teknik 'fold'.
4. Krim sedia untuk disapu, kalau cair sangat masukkan dalam peti es dulu kasi dia keras sikit.

Sesi pemasangan (hahahahaha!)
1. Belah setiap kek jadi dua lapisan. Letakkan salah satu lapisan atas (selalunya dia macam jadi tinggi kan) secara terbalik. Sapu krim frosting.
2. Letak satu lagi lapisan dan sapu krim sampai habih lapisan. Nak bahagikan krim tu, bahagikan 5 bahagian, 3 bahagian untuk 3 lapisan tengah, 2 lagi untuk sapu kat luar.

Nota: Nak buat kek ni memang leceh, tapi berbaloi.

Sunday, September 05, 2010

Kuih Tako

Kuih ni biasanya diisi dalam daun pandan. Tapi mahai depa juai, 4 kotak tu dah seringgit. Dah la mahai kecik pulak tu kan. La ni tak tau la kot lagi mahai. Dedulu ingatkan ekslusif sangatla, nak buat kena pakai tepung hoen kwe ka pa namanya. Resepi ni lagi senang la, terima kasih pada sahabat Izinni yang sudi menyelongkar kitab lama untuk mencari resepi ni. Dah dua kali buat dalam bulan posa ni dan komen orang yang telah merasa sangat memberansangkan nampaknya. First time buat tak guna bekas kecik, susah sikit la nak memotong sebab tekstur kuihnya lembut. Second time buat tu aku buat satu bekas besar untuk bawak ke jemputan buka posa, satu lagi dalam bekas pelastik kecik untuk ditinggalkan kat umah.

ni yang mula-mula buat, terpeleot saja bila nak potong sebab lembut sangat...ijau tu letak pewarna saja, tak kuasa nak membeli pandan yang mahal itu semata-mata nak dapatkan jus dia


Bahan:

Lapisan Bawah

1 cawan tepung jagung [kurangkan sikit dalam 2 sudu kecil]

1 cawan gula

4 cawan air

pewarna hijau @ jus pandan

sengkuang cina/jagung manis

1. Bancuh rata dan masakkan atas api/dapur sampai likat pekat.

2. Masukkan sengkuang atau jagung manis.

3. Tuangkan dalam bekas acuan daun pandan / bekas plastik kecil / loyang.


Lapisan Atas

1/2 cawan tepung jagung

4 cawan santan pekat

garam

1. Kacau rata dan masakkan atas dapur sehingga pekat.

2. Tuangkan atas adunan hijau tadi.

3. Dah sejuk bolehla dimakan.




kali kedua buat...


semangat beli bekas pelestik tu semata-semata nak buat tako...


selalu hat juai tu lapisan atas dia tebal sikit...yang ni main senduk saja...

Monday, January 04, 2010

Kek Hummingbird (Burung kelicap)

Tiada seekorpun burung kelicap dikorbankan untuk membakar kek ni. Aku pun tak tau pasaipa depa bagi nama hummingbird, agaknya sebab ada buah-buah manis kot. Kek ni macam kek pisang saja, cuma ditambahkan dengan nenas dan kacang pecan. Katanya kek ni berasal dari bahagian selatan Amerika Syarikat, sebelah-sebelah sana kan banyak buah-buah tropika ngan kekacang ni. Frosting kek ni aku guna frosting kek velvet tu, frosting asalnya guna banyak butter. Rasa kek ni lebih kurang kek lobak merah, lembab dan banyak bahan. Tak payah guna mixer, kacau-kacau saja semua bahan. Kek ni takleh makan banyak, cepat muak sebab dia sangat kaya dan berkrim :). Resepinya disalin kat web Joy of Baking.


Bahan-bahan (ada sesetengah bahan aku tukar tengok apa yang ada saja, aku letak resepi asal dalam kurungan tu):
110g pecan, dipanggang dan cincang
420g tepung naik sendiri (tepung gandum)
1 cmt baking soda
1/2 cmt garam
1 cmt serbuk kayu manis
3 biji telur besar, dipukul kasi kembang sikit
180ml minyak sayur (sunflower oil)
1 1/2 cmt esen vanila
230g (8 oz) nenas dalam tin dipenyek
2 cawan pisang lenyek (3-4 pisang sederhana)

Bahan untuk frosting:
115g gula aising
300ml double cream
200g soft cheese
1 cmt esen vanila
55g pecan panggang dicincang

Cara:
1. Ayak tepung, garam, baking soda, serbuk kayu manis. Campurkan gula dan kacau sebati.
2. Kacau minyak, telur, nenas, pisang, esen vanila dan kacang pecan. Tuang adunan basah ke dalam adunan tepung dan balik-balikkan sampai sebati.
3. Tuang adunan ke dalam dulang kek yang dialas kertas dan minyak. Aku guna 2 bekas sebab kek ni banyak bahan dalam dia jadi senang hancur kalau nak potong guna pisau untuk buat 2 lapis. Aku guna bekas 8 inci, jadi kek tebal, seelok-eloknya guna bekas 9 inci.
4. Bakar dalam oven yang dah dipanaskan 180 darjah, lebih kurang 30 minit. Kalau tak masak lagi tambah masa membakar, check setiap 10 minit. Sejukkan kek sebelum disapu frosting.

Frosting
1. Pukul soft cheese sampai berkrim.
2. Mesin double cream sampai nampak soft peak. Jangan mesin lama sangat, nanti dia terus jadi keras.
3. Campurkan soft cheese dan krim, masukkan gula aising dan esen vanila. Masukkan pecan. Kacau rata.

Tebal sangat ni, nak tutup pun susah. Lain kali kena guna 9 inci.

Tuesday, December 01, 2009

Kek Marmar Oren (Orange Marble Cake)

Kek ni ada oren tapi takdak secebis pun serpihan marmar. Kek ni disediakan untuk sahabat seperjuangan di arena pewayangan, Effa yang menyambut raya di Glasgow untuk kali terakhir. Asalnya Effa nak request kek keret, tapi memandangkan jemputan yang ramai dia pun dalam dilema, teringin nak makan kek keret tapi kalau boleh tak mau yang leceh-leceh nak hidang. Nak yang simple saja. Jadi aku cakap kat dia aku buat kek simple saja. Tak la pulak aku cakap nak buat kek ni, tapi tu la orang kata telepati kan. Dia kata dia pun sebenarnya teringin gak kek yang namanya macam ada batu marmar ni. Resepi adalah berdasarkan buku Step-by-Step Cakes & Desserts.
Kek marmar bergaya di rumah Effa

Bahan kek
225g mentega
225g gula kaster
3 biji telur besar (asalnya 4 biji telur sederhana)
225g tepung naik sendiri-diayak
parutan kulit (rind) dan jus daripada sebiji oren
25g serbuk koko- diayak
30-50 ml susu/double cream (aku tambah ni sebab susah nak sebatikan jus oren ngan serbuk koko)

Bahan topping
Parutan halus (zest) dan jus daripada sebiji oren
1 cmb gula

Cara membuat
1. Sapu tin pembakar kek dengan minyak/butter/marjerin, pastu alas ngan baking paper. Boleh guna tin bulat diameter 8 inci. Aku buat 2 adunan, satu guna tin bulat, satu lagi guna tin patsagi. Panaskan oven 10 minit sebelum letak adunan untuk dibakar. Suhu lebih kurang 170-180 C. Kalau ikut buku tu dia suh 190C, tapi aku risau kang hangit la pulak kan.
2. Mesin mentega ngan gula sampai berkrim. Aku mesin mentega dulu sampai kembang sikit, dah bawak keluaq awai pun dok membeku lagi. Agaknya kena sehari semalam awai baru ok kot.
3. Masukkan sebiji telur pastu pukul sampai adunan sebati. Ulang la sampai habih teloq tu. Jangan lupa kikis adunan yang terpercik kat tepi mangkuk tu.
4. Masukkan tepung sikit-sikit, guna senduk ka apa nak kaup dan balik-balikkan adunan kasi sebati.
5. Bahagikan adunan kepada 2, satu bekas tu campurkan dengan kulit oren dan sedikit jus. Pukul kasi adunan sebati.
6. Campurkan serbuk koko dengan baki jus oren. Kalau agak-agak susah nak kacau tambah la susu atau double cream. Aku tambah double cream sebab ada yang tu dalam peti ais. Susu/coublem cream akan menjadikan tekstur kek lebih lembab.
7. Sendukkan kedua-kedua aduna ke dalam tin pembakar berselang seli. Adunan dia agak pekat jadi letak setompok sana setompok sini. Pastu guna lidi/garpu untuk kasi pusing-pusing untuk meratakan dan campur adunan tapi jangan over excited pusing-pusing pulak. Satgi kengkonon nak dapat efek marmar sekali dah jadi granit kan.
8. Bakar lebih kurang 45-55 minit. Eloknya lepas 45 minit tu test la ngan lidi, takut hangit pulak nanti.
9. Dah masak tu boleh la dikeluarkan daripada tin dan sejukkan. Tuangla sirap topping kat atas dia. Topping ni kasi macam berkilat-kilat gitu. Dah sejuk topping tu bolehla dihidangkan.

Untuk topping
1. Campurkan jus dan parutan kulit oren dengan gula dalam periuk kecil. Panaskan dan kacau sampai gula larut. Kasi mendidih, pastu perlahankan api, masak 5-6 minit atau lama lagi, sampai pekat sikit.
2. Dah pekat sikit boleh la tuang atas kek.