Wednesday, September 04, 2013

Rasionalisasi Subsidi Minyak (a.k.a.rega minyak naik)

Ramai yang cuba jadi pakar ekonomi dengan kenaikan harga minyak kesan pengurangan subsidi, kata sesetengah orang. Perlu jadi pakar ekonomi kah untuk memahami kesan kenaikan harga minyak? Anda lupa kah ilmu itu ada bahagian teori, datangnya daripada membaca buku-buku, ada satu lagi sumber ilmu iaitu pengalaman dan pemerhatian. Anda cuma perlu rajin memerhati dan berfikir. Rakyat kebanyakan mungkin tidak belajar teori ekonomi, tetapi mereka berhadapan dengan keadaan yang berlaku. Cuma tak dapat nak menerangkan dengan menggunakan mathematical correlations saja.

Anda kecoh kerana orang mempertikaikan kenaikan 20 sen itu, anda katakan harga itu lebih murah berbanding di kebanyakan negara. Anda bandingkan dengan Singapura, anda bandingkan dengan Thailand, anda bandingkan dengan Britain. Tolonglah, jangan memandang dari satu dimensi saja. Lihatlah dimensi lain. Kenaikan harga berlaku di serata dunia, tapi apa kata anda lihat juga bagaimana pengurusan negara di sana. Bandingkan sekali ketelusan dan integriti pengurusan harta negara. Kemudian lakukan prioritisation. Ya, subsidi perlu dikurangkan, kerana keperluan pembangunan negara. Tapi, bagaimana pula ketirisan wang pembangunan negara?

Mana yang lebih penting, hapuskan ketirisan dalam projek pembangunan atau kurangkan subsidi? Penghapusan penyelewengan pengurusan akan merugikan sebahagian kecil kroni  yang mengaut kekayaan, pengurangan subsidi akan memberi kesan kepada majoriti rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah. Banyak mana pun pendapatan, disalurkan untuk pembangunan, selagi masalah penyelewengan tak diatasi, takkan cukup. Hapuskan penyelewengan, jimatkan kos pengurusan pembangunan, hapuskan ketirisan, dan para menteri dan kroni jangan lagi boros dan rakus memenuhkan tembolok masing-masing. Jika segala langkah penjimatan telah dilakukan, masih juga pengurangan subsidi diperlukan, langkah ini akan diterima dengan lebih tenang. Kerana kami rakyat bukanlah buta dan bodoh.