Free Delivery on all Books at the Book Depository

Thursday, April 15, 2010

Perjalanan ke Kota Ibrahim

Mengerjakan umrah bagi orang lain mungkin satu perkara biasa. Tapi bagi aku, dapat berumrah adalah satu rahmat. Sejak dulu masalah birokrasi nak masuk ke Saudi dengan mahram menjadi masalah utama, selain kewangan yang jatuh nombor dua. Pernah sekali nak singgah berumrah masa balik selepas tamat pengajian masters, nak mintak Pak Ngah datang ambik ke Jeddah. Tapi mahram ditanya awal-awal masa kat imgresen lagi. Tak lepas jugak aku keluar nanti.

Untuk umrah yang ni, kami bertiga dari Glasgow turun ke kotaLondon (KL) sebab penerbangan ke Jeddah dengan Saudi Airlines dari sana. Singgah di Malaysian Hall, sempatlah merasa asam pedas ikan patin di kantin. Kesempatan yang jangan disia-siakan. Kalau nak harapkan turun KL semata-mata nak makan kat Malaysian Hall memang sampai bila-bila pun tak buat. Duduk la dunia mana pun, yang teringin nak makan tetap masakan dari kampung. Dudukla di ceruk mana pun, kelembapan pengurusan melayu tetap sebati dalam diri. Tak melayu hilang di dunia.

KL tak kena ngan jiwa kampung aku. Tiba di KL memerhatikan gelagat manusia aku terasa sangat kekampungan. Di Glasgow sangat jarang jumpa yang stylo-mylo di jalanan pada waktu berkerja, semuanya sibuk mencari rezeki. Jadinya, kebanyakan yang ditemui rata-rata sekadar mengenakan t-shirt, tracksuit dan trainer. Mereka golongan kelas pekerja ataupun bawahan. Kalau keluar ke bandar nampaklah ramai yang menyorong stroller, ramai yang berpimpin tangan dengan anak-anak. Yang bekerja ramai, yang hidup dengan bantuan juga ramai. Hujung minggu bolehla nampak ramai yang stylo-mylo keluar ke bandar. Tapi di KL pada ni tak nampak sangat yang membawa anak-anak. Atau mungkin juga destinasi kami di KL ni bukan tempat golongan yang menerima benefit. Penampilan pelajar KL pun sangat berbeza dengan yang di Glasgow.

Niat aku berumrah adalah untuk menziarahi kota yang didirikan oleh Hajar dan Ismail. Rumah ibadatnya pula didirikan oleh Ibrahim dan Ismail. Rumah ibadat yang tertua sampai disebut Allah dalam kitabnya sebagai ‘baitul atiq’ – rumah purba dan antik. Kalau piramid di Mesir sezaman Nabi Musa pun dah cukup purba, inikan pulak Kaabah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Teringin bersolat dengan Kaabah didepan mata, solat la dari mana-mana arah sekalipun tetap Kaabah itu di depan mata. Kaabah yang agam, bukan sekadar tenunan di sejadah.

Khairyn menyampaikan cerita yang laluan sa’ie sekarang dah bertingkat-tingkat. Jadi, kalau bersa’ie di tingkat atas tak merasalah mendaki bukit Safa dan Marwah. “Sa’ie sekarang pun sudah berbumbung, tak terasa panasnya. Tak mencapai tujuan merasa kegetiran Hajar berkejar mencari air untuk anaknya Ismail.” Astaghfirullah. Belum apa-apa sudah lancang mulutnya. Ya Allah, janganlah dihukum kami atas keterlanjuran bicara. Permudahkanlah segala urusan umrah kami.

Hari bertolak ke Jeddah, rupanya ramai juga yang bakal berumrah. Kaunter pesawat Saudi Airlines paling ramai pelanggan, daftar masuk mengambil masa yang lebih lama kerana sistem komputer di Heathrow mengalami gangguan. Semua urusan perlu dibuat secara manual. Serangan Good Friday agaknya. Ada penumpang yang sudah memakai ihram, lebih senang berihram siap-siap daripada nak bertukar dalam pesawat nanti. Syarikat ni nampak rasis, tak ada pekerjanya di sini bukan warga Saudi. Kaunter tiket, kaunter daftar masuk semuanya rakyat Saudi. Kalau kat kaunter Emirates biasanya orang tempatan saja yang jadi petugasnya. Memang itulah kebiasaannya, negara ini memang dikenali antara yang rasis dan chauvinis di dunia tapi tak dak pulak yang berani menegur.

Penerbangan ke Jeddah mengambil masa lebih kurang 6 jam. Solat jamak ditunaikan di satu ruang yang disediakan. Ruang tu la yang digunakan bergilir-gilir oleh lelaki dan perempuan, tapi lelaki yang lebih banyak berada di situ. Ramai yang nak mengenakan pakaian ihram. Lama sangat menunggu, akhirnya orang di sebelah aku sekadar bersolat di tempat duduk. Aku pun akhirnya bersolat di tempat duduk saja untuk maghrib sebab ruang solat yang sentiasa dipenuhi lelaki. Sepanjang masa aku berdoa semoga dipermudahkan segala urusan umrah. Banyak cerita yang aku pernah dengar, yang mendapat teguran langsung di Mekah. Risau kalau tak diberikan kesempatan untuk menyempurnakan umrah ni. Kesempatan berdoa semasa bermusafir ini perlu dimanfaatkan.

Lebih kurang 20 minit sebelum mendarat kami dimaklumkan pesawat akan melalui miqat, selepas berniat umrah mula kedengaran ucapan talbiyyah daripada para penumpang.Dah mula rasa lain. Terasa ada tarikan sesuatu. Terasa berdebar-debar jugak takut tuan rumah tak sudi terima tetamu dari Glasgow ni. Sambil mulut melafazkan talbiyyah, hati berdoa supaya yang menjemput sudi menerima orang dari Glasgow yang baru kali pertama berkunjung. Orang yang tak biasa, mungkin akan tersalah adab. Semoga semuanya selamat.

0 comments: