Wednesday, January 25, 2017

Kerabu untuk 5 hidangan sehari

La ni nak makan pun ada panduan. Pemakanan sihat sepatutnya ada sekurang-kurangnya 5 hidangan sayur atau buah setiap hari. Satu hidangan lebih kurang 80 gram.  Seeloknya buah yang manis dikurangkan dan sayuran dibanyakkan. Untuk mengawal masalah gula dalam darah, aku cuba penuhkan 5 hidangan dengan sayur-sayuran saja.

Gambar dari http://ww.sanjivanipharmacy.co.uk/c/54067c2ace4733995e8bb632a3814f8b

Tambah lagi, pilihan sayur juga perlu dipelbagaikan supaya menepati pula 5 warna pelangi sayur; merah, kuning/jingga, biru/ungu, hijau dan putih. Masalahnya, macam mana nak makan sampai 400 gram sayur setiap hari?

Gambar: https://now.ruelala.com/taste-vegetable-rainbow/


Ada banyak cara nak makan sayur ni. Yang pertama buat kerabu atau salad. Hiris nipis semua sayuran, gaul dengan perencah dan cukupkan rasa. Tapi kalau kerabu ni aku sorang saja yang makan. Ahli rumah yang lain tak makan. Orang kampung la katakan. Ada empat elemen penting untuk buat kerabu atau salad; sayur-sayuran, protein, lelemak dan perencah. Sayur-sayuran ni kalau nak buat kerabu boleh pilih saja rangkaian ulam-ulaman yang kita ada. Lepas tu protein sama ada nak letak isi ikan, ayam, daging atau telur. Lelemak pula, kalau kerabu melayu biasanya santan atau kerisik. Kalau kerabu siam ada kacang yang ditumbuk. Perencah pun bergantung pada setiap tempat. Kalau di Kedah biasanya belacan ditumbuk dengan cabai melaka atau lada hitam, garam dan gula. Tumbuk sekali dengan halia atau lengkuas. Kalau kerabu siam pula biasanya ada sos ikan dengan gula kabung, cabai dan serai dihiris nipis. Salad barat pula senang, garam, gula, minyak zaitun. Lagi senang letak mayonis saja, selesai kerja. 

Yang penting rasanya kena seimbang. Masin, pedas, masam dan manis. Kalau ada pahit pun mengancam juga, macam kerabu bunga betik atau kerabu pucuk mengkudu.

 Ni kerabu daun selom digaul dengan kacang kelisa, lobak merah, tomato, lada benggala kuning, bawang dan halia. Aku gunakan kerisik, belacan dan cabai melaka yang ditumbuk. Kemudian aku tuang setin tuna bercili. Perahan lemon untuk menambah perisa. Gula tak letak sebab tuna tu pun ada perisa juga.


Ni pula salad yang bersoskan mayonis dan perahan lemon. Timun, lobak merah, tomato dan gajus panggang berlaukkan daging salai. Taburan biji popi menambahkan kandungan serat dalam hidangan.


Aku tak pasti dengan orang lain. Tapi untuk diri sendiri memang aku pelbagaikan citarasa kerabu dan salad dengan mempelbagaikan empat elemen yang disebutkan. Kalau sama saja, cepatlah kita jadi bosan dok makan benda yang sama. Macam mana nak sihat dan cantik kalau malas makan sayur?

0 comments: