Free Delivery on all Books at the Book Depository

Friday, December 28, 2012

Rahsia kurus

Tiada produk ajaib untuk kurus! Yang sebenarnya, kita cuma kena faham kenapa ternakan lemak badan berkembang dengan pesat sekali. Dapat faham punca masalah, barulah kita boleh cari penyelesaian kepada masalah. Asas kepada penyelesaian masalah adalah kena lah cari ilmu. Apalah guna makan atau guna produk itu ini, tapi hujungnya kalau tak berkesan dia cakap kita tak jaga makan. Kalau macam tu, kata kuncinya dah tentulah jaga makan jugak kan?

Tapi depa pun pandai la ni. Marketing hype dia kata supplement, bukan ubat kurus. Jadi, dia tak kata dia ubat kurus, cuma makanan tambahan saja. Jadi, kena pakat menderu pi beli ka?

Sekali lagi, yang penting adalah ilmu. Yang aku nampak la ni, ada dua jenis produk. Yang pertama tu memang dia claim boleh jadikan umat kurus dengan penggunaan/pemakanan. Yang kedua, claim sebagai supplement untuk bantuk kurus. Yang ubat kurus tu, jaga-jaga la sebab ubat yang dimakan boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang. Biasanya produk ni menyebabkan hati kita bekerja keras nak proses lemak, buah pinggang pulak kena singgirkan lemak. Lama-lama, badan kurus, tapi lepas tu buah pinggang rosak, hati rosak, apalah maknanya. Tak gitu? Ada pulak yang guna fiber, jadi perut sentiasa rasa kenyang. Bila kenyang takla asyik nak melantak. Fiber tu pulak diproses daripada buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita boleh beli dengan harga yang jauh lebih murah. Kira produk ajaib ke tu?

Yang claim supplement pulak, kena kaji la dulu apa fungsinya. Supplement yang dijual di Malaysia ni bukanlah produk newly invented, yang patennya didaftarkan. Boleh kata semua adalah produk biasa yang dilabelkan dengan marketing hype konon-konon hebat. aku tak jumpa lagi supplement yang baru dicipta untuk kurus. Boleh dapat supplement yang sama di farmasi, kenapa nak bayar harga berkali-kali ganda untuk sedekah bonus kat upline? Meal replacement tu apa fungsinya? Macam mana nak berkesan kalau dah ambik meal replacement tapi masih melantak macam azali, buang karan saja.

Tak ada rahsia nak kurus. Tenaga yang diambil mestilah kurang daripada tenang yang digunakan. Kalori masuk < kalori keluar. Sama ada kurangkan kalori masuk dengan kawal pengambilan makanan, atau tambah kalori keluar dengan tambah aktiviti fizikal. Simple!

Wednesday, December 05, 2012

Projek 1200: Tamat

3 minggu tak update perkembangan projek ni. Lepas balik dari Bandung, aku mula jadi kelam-kabut dan rasa tak cukup tangan nak buat kerja. Balik dari Bandung 18 Nov, ada 2 minggu saja untuk persiapan terakhir kenduri.

Masa di Bandung kirim salam la nak kawal kalori ka apa, makan saja yang mana depan mata. Aku jadi tukang perabih pun banyak jugak. Abang ipar aku memang takleh masuk la dengan selera sana. Masuk kedai saja tanya tomyam hehehheheh. Kami banyak makan masakan Padang sebab itu saja yang kebanyakan orang boleh makan. Aku suka sambal terung, masak lemak perut, tempeh dan tahu goreng. Tahu rasa lembut, tak mampat macam tahu kat sini. Makanan ringan, aku suka pisang salai. Sedap! Kalorinya pun ntah berapa aku tak kira.. hahhahahha.

Sabtu lepas kira dah abih la projek aku, target nak kurangkan beberapa kilo. Tapi, sebab sentiasa terbabas saja, hanya 3.5 kg yang turun. Cuma, sebab aku tau kiraan kalori sentiasa berlebihan, aku senaman paling kurang 4 kali seminggu. Biasanya boleh dapat 5 hari la. Weekend kira cheat day. Tak ada senaman, tak kira kalori apa. Mula minggu baru kira badan lebih bertenaga untuk senaman berat sikit. Jadi, walaupun berat tak turun banyak, badan lebih padat dan mampat. Hahahahhaha... Tu pun ada mak menakan aku cakap nampak kecik sangat. Tak elok kalau kecik sangat, katanya.

Lepas ni, nak mula balik program ni. Lepas tu nak pi buat medical check up tengok gula dan kolesterol. Dah dapat 50kg cuma perlu maintain saja la, untuk kesihatan berpanjangan. Jadi, lepas ni kita turunkan 8 kg pulak. Yeah!!!!!!!


Thursday, November 08, 2012

Projek 1200: Minggu 4

Cepatnyaaaaaa... dah 4 minggu dah. Dalam 2 minggu ni berat turun naik. Ada raya haji, yang menyebabkan aku berkelanjuran makan secara melampau. Minggu lepas pulak aku bercuti-cuti KT di rumah Cik Mol dengan Cik Khairyn. Makan off-course la secara gigih kan.... kepok leko, masakan Cik Mol yang sudah lama dirindui, sarapan kedai yang sedap-sedap. Makanya, tak terkawal la kaloriku hehhehehe...

Berat masih maintain pada yang 2 minggu lepas. Cuma aku rasa (perasan) macam badan dah kecik hehhehe. Body toning la kiranya kan.... yang penting, baju dah fitting. Jangan tak muat sudah. Tinggal lagi 3 minggu, akan kuteruskan kegigihan ini. Cumanya, minggu depan ke Bandung pulak dah. Aiyoh! Cabaran sungguh.

Thursday, October 25, 2012

Projek 1200: Minggu 2

Sekali saja berjaya mencapai 1200 kalori yang dimakan. Yang lain asyik la terbabas. Kalau ada jamuan lagi la, 2000 lebih. Hahahahaha! Abih, camna ni?

Prestasi alhamdulillah. Berkurang la lagi 7700 kalori tersimpan. Kalau makan lebih kena la bergerak lebih. Aku cuba jugak la selain naik cross-trainer tu, tiap-tiap hari berjalan untuk 10000 langkah. Semalam aku buat senaman lebih kat cross trainer, sebab tengah hari dah makan banyak. Tambah lagi 30 minit. Hasilnya, lepas isyak dah terbongkang. Oleh kerana keterbongkangan itu, maka tak boleh la buat selalu. Heheheheh

Setakat ni turun 1kg seminggu. Tapi hari esok ni tak tau la, raya lagi. Kenduri korban lagi. Up sikit la. 1300 la. Esok jadi cheat day. Sabtu dan Ahad kena pi joging kat kolam MADA. Kena buat beberapa alternatif pelan pemakanan. Jemu kalau tiap-tiap pagi makan roti dengan teloq saja. Oat mungkin aku nak ambil masa lunch, ganti nasi. Kalau pagi banyak sangat kalori, kang lunch nak makan nasi pulak. Nak jalan mudah, boleh saja berpantang nasi dan karbohidrat. Tapi amalan tu tak boleh bertahan lama, dan mungkin menjejaskan buah pinggang dan hati. Sebab aku nak kekalkan kesihatan, maka kena lah rajinkan diri mengira kalori. Cabarannya 7 minggu, dah habis 2 minggu. Ada lagi 5 minggu menanti. Yeah!

Thursday, October 18, 2012

Projek 1200: Minggu 1

Sat saja, dah seminggu aku dengan projek ni. Setakat ni belum lagi mencapai 1200, kecuali masa posa. Aku track jumlah kalori ni guna MyFitnessPal. Senang la jugak sebab sesetengah makanan dan jumlah kalori dah ada orang yang tolong masukkan. Susah jugak rupanya nak mencapai 1200 kalori ni. Kalau ikutkan ebook tu, intake kalori sepatutnya dalam 1330 camtu. Aku la gatai nak rendahkan sendiri-sendiri. Rupanya susah jugak. Macam hari ni, tengah hari tadi makan nasi ayam. 600 kalori. Biaq betoi! Tapi nak kata tak logik pun, ada logik gak. Ayam tu ayam goreng. Nasi putih secawan pun dah 200 kalori, ni kan pulak nasi berminyak. Masa tadi nak beli nasi berlauk pun semuanya tak menyelerakan. Beli dulu baru check kalori. Itu lah jadinya.

Berat? Agak obses jugak aku duk menimbang hari-hari walaupun sebenarnya tak perlu pun, cuma aku nak buat untuk rekod saja. Sebab berat berubah-berubah untuk jangka masa pendek. Tapi turunla 1kg selama seminggu, walaupun sabtu ahad program diet memang terbabas. Harapnya hujung minggu ni tak ada yang terbabas lagi, aku perlu bersedia untuk menguatkan jiwa dan perasaan memandangkan minggu depan raya haji.

Thursday, October 11, 2012

Projek 1200

Wah, sangat lama bersawang. Rumah aku pun bersawang juga seperti mana bersawangnya blog ini. Letih la nak mengemas rumah, kena pulak dengan aku yang malas bertimpa-timpa. Barang dari Glasgow pun tak habis kemas lagi ni. Ntah bila nak habis kemas tu. Tahun depan pun belum tentu.

Anyway, hari ni hari pertama projek 1200 aku. 1200 calorie intake. Perghhh! Kunun nak turunkan berat, nak dapatkan berat badan ideal la ni. Ha la, selain daripada sebab nak kawin, aku sebelum ni kadang-kadang dalam denial mode jugak la pasal glukos dalam darah. Dulu dah pernah masuk pre-diabetic kan. Jadinya, target aku nak turunkan 8kg dalam masa 7 minggu. Adala pengiraan calorie intake dan calorie needed to be burned untuk mencapai hasrat suci murni lagi kudusku ini. Kalau berjaya, termasuklah daku dalam golongan mereka yang mempunyai BMI sempurna, walaupun kira upper range. Lepas tu cheat time la, nak makan nasi kenduri bagai. Mungkin rehat seminggu dua, lepas tu sambung balik sampai dapat 48kg. Target tak hengat punya!

Projek aku tak melibatkan penggunaan sebarang ubat kurus atau berpantang mana-mana kumpulan makanan. Takdak ambil kurus, atau teh kurus, atau pantang tak ambik karbohidrat macam orang yang mengikuti program diet Atkins, Dukan, Jusmate mahupun yang ambik supplement SD2. Aku memang banyak cari maklumat pasal pelbagai jenis diet. Diet-diet yang meminimumkan pengambilan karbohidrat dikatakan berasaskan Atkins diet, cuma minimum carbo intake tu berbeza-beza. Kalau kita minimumkan karbohidrat, kita tambahkan lemak dan protein. Karbohidrat bagi kesan kepada paras gula dalam darah, jadi gula rendah. Tapi, kita bagi kerja lebih berlebihan kepada hati dan buah pinggang. Itu sebabnya program ni tak sustainable, untuk jangka masa pendek sehingga mencapai berat yang dikehendaki. Lepas tu, kita akan tambah sikit-sikit karbo. Ada lagi kesan water retention dan sebagainya. Lepas ikut program, kita perlu amalkan pemakanan sihat untuk maintenance. Kalau tak, badan mengembang semula bagai dipam-pam. Ada diet, meal replacement. Tapi makan kena berpantang juga. Jadi, yang sebenarnya asas penting adalah pemakanan sihat.

Aku download ebook Kevin Zahri, to make sure I am doing the right things right. Lepas baca sana baca sini, aku pun siapkan pelan program la kan. Nak keep track aku calorie intake aku download app MyFitnessPal kat tepon aku (gajet baru hehehehehe).


Panduan dalam ebook tu, kita kena kira kadar metabolisme badan (Basal Metabolic Rate-BMR). Ini keperluan kalori untuk organ-organ badan buat kerja. Daripada situ kita dapat keperluan kalori harian untuk buat kerja (Daily Calorie Requirements-DCR), bergantung kepada kadar keaktifan, berat dan umur masing-masing. Kalau nak ikutkan, kadar penggunaan kalori untuk setiap aktiviti bagi individu adalah berbeza, kerana kita adalah unik. Tapi, kadar ni macam purata la sebagai rujukan. Jumlah kalori yang diambil melalui pemakanan mestilah kurang daripada DCR, sebab kalori defisit ni yang akan mengurangkan berat badan. Nak kurangkan 1kg kena kurang 7700 kalori. Kalau sekilo seminggu, sehari kena ada defisit kalori sebanyak 1100 sehari.

Dalam kes aku, sasaran 8kg kan, jadi 61600 kalori, 50 hari. Jadi, sehari kena ada beza DCR-calorie intake = 1232 kalori. DCR aku 1892, jadi 1892-1232= 660 kalori saja nak makan sehari. Sangat tak boleh! Sebab kena makan juga minimum 50% daripada DCR. Kalau tak, badan ingat masalah kebuluran sedang melanda dan sebagai langkah keselamatan sistem badan akan kurangkan metabolisme. Oleh itu, kalori defisit ni aku bahagi 2, 616 kalori kena kurangkan melalui pemakanan, 616 lagi melalui tambahan aktiviti senaman. Haaaa... gitu la dia. Nampak lebih achievable kan?

Lepas tu, kena buat analisis kalori dalam pemakanan seharian. Kalau ikut yang kemarin, intake dalam 1672. Sasaran kalori defisit, 1892-616 = 1276. Kira 1200 la lebih kurang. Kira kena buang 472 kalori yang biasa diambil. Roti canai=300 kalori, nasi lemak=340 kal, kalau campur sambal lagi? Ya, demikianlah. Lebih kurang.

Untuk 1200 kalori, nasi masih boleh makan tiap-tiap hari, tapi sehari sekali saja la. Nasi lemak, roti canai tu seminggu sekali boleh tapi kena sesuaikan untuk masukkan dalam kiraan kalori. Coklat pun boleh, tapi kena kira kalori. Kena kerap makan, tapi saiz hidangan lebih kecil. Dalam masa 7 minggu ni, minum air masak banyak-banyak, kopi/teh tanpa gula, jus sayur atau susu. Senaman? Dah tentu la kena lebih gigih. Gerek biru yang masuk Salam Perantau dulu bakal dimanfaatkan. Tapi pada hujung minggu dan petang-petang yang tak hujan. Kena buat burpees selalu, untul overall body work out. Dan aku dah invest sebuah cross trainer, semoga ia tidak bertukar menjadi tempat sidai baju yang mahal. Jia you!

Thursday, July 26, 2012

Air tangan orang bujang





Hari ni akhirnya aku telah berjaya masak nasi lemak, lepas setahun balik memang tak penah masak nasi lemak. Dok beli saja. Hari-hari puasa ni, kalau pi beli makanan kat pasar ramadan mesti mencanak mahal. Lagipun aku malas nak drive pi sana. Sebagai tanda protes, masak sendiri saja. Santan guna santan kotak, cabai pun guna yang serbuk saja. Nasi lemak semata. Kuih apa pun takdak. Jadilah, rezeki orang bujang hari ni.

Sunday, July 22, 2012

Salam Ramadhan

Hari ni hari kedua puasa. Dah setahun aku balik sini. Tapi nampaknya sangatlah mandom. Sempena Ramadhan ni, kena detox hati, detox jiwa dan detox semuanya. Semoga amalan Ramadhan akan berterusan. Ramadhan Mubarak!

Wednesday, April 04, 2012

Tentang pemanduan berhemah

Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.
- Utusan Malaysia, 3/4/2012

OK, aku tak berapa suka baca sothabaq. Pasai kalau aku baca mesti nak gelak. Gelak banyak sangat mematikan hati.

Thursday, March 29, 2012

Resepi: Peria Goreng Rangup


Benda alah ni selalunya ada kat kedai mamak. Tapi sebab aku bukanlah pengunjung tetap kedai mamak, jadi tak pernahlah aku merasa di kedai. Namun demikian, tetaplah tergedik-gedik jugak nak buat sebab la ni kena pantang sotong goreng tepung. Kegatalan menyerang! Jadi, la ni gantilah sotong dengan peria. Lagipun peria ni lebih murah dan tak meletup-letup semasa digoreng. Ok la tu, kecantikan kulit tetap terpelihara ketika menggoreng. Rasa pun sedap, rangup-rangup pahit. Macam kerepek pisang terlebih garing yang aku suka hehehhehe

Bahan-bahan:
Peria (boleh guna peria biasa atau peria katak) - dibasuh sebelum potong nipis-nipis melayang
Tepung - aku guna tepung goreng yang biasa diguna untuk cucoq pisang, tepung ni campuran tepung beras, tepung jagung dan baking powder.
serbuk kunyit
Serbuk jintan
Serbuk ketumbar
Serbuk cili/tandoori
Garam
sedikit air

*serbuk-serbuk ni letak la dalam satu camca teh, agak-agak bagi ada rasa. Tepung tu bagi menyalut tepung, kerangupan tepung dicampur dengan kegaringan peria yang nipis tu. Perghhh!!!

Caranya:
1. Gaul semua bahan kering. Gaulkan peria dengan campuran tepung.
2. Tuangkan air sikit-sikit sambil menggaul supaya tepung tu menyaluti kepingan peria tu.
3. Perap sat. Lepas tu goreng sampai garing dengan minyak banyak. Depa kata goreng terendam.

Ni tepung tak berapa banyak ni.


aku guna tepung ni, tepung cap tangan. sekampit RM1ni tepung banyak, rangup. piawww punya!

Monday, March 05, 2012

Resepi: Sayur Tauhu Teja


Gambar sangat tidak menarik. Maaflah, kamera telepon yang berapa sangat reganya. Ini adalah sayur campur dan tauhu lembut yang digoreng dengan campuran rempah. Kenapa aku goreng sayur dengan rempah. Sebab tak mau rasa sayur ni bland sangat, lagipun tauhu pun macam tak ada rasa kan? Kenapa Teja? Saja-saja buat resepi sendiri, dengan bahan dan rasa tersendiri. Jadi, untuk menjadi teja mestilah ada campuran serbuk ketumbar, jintan dan jeruk cili. Sayur yang digunakan mestilah ada campuran warna. Rasanya ada tidak memboringkan, ada sedikit infusion dengan cuka. Aku gunakan jeruk cili home-made buatan Tetah (kakak). Stok jeruk cili sangat banyak, boleh lah hubungi aku kalau nak. Cili yang digunakan adalah cili padi yang kecik tu, dengan tahap kepedasan melampau. Jadi, jangan letak banyak-banyak.


Jeruk cili, sedap jugak dimakan dengan nasi kerabu

Aku ni sedang belajar untuk makan menu-menu yang sihat. Jadi, inilah hasilnya supaya tak jemu.

Bahan-bahan:
1 peket tauhu lembut - diperap dengan kicap untuk memperisakan tauhu
1/2 batang lobak merah
40g kacang (snow pea)
1/4 pelepah brokoli
1/2 biji tomato
3 ulas bawang putih-dicincang (aku suka bawang putih, boleh tambah lagi)
1/2 cmt serbuk ketumbar
1/2 cmt serbuk jintan (cumin)
1/2 cmt jeruk cili burung-pedas menggila. kalau tak tahan pedas letak sikit saja. kalau letak cili biasa tak ada la rasa sayur infused dengan cuka sikit.
1 cmb minyak zaitun
sos ikan (nampla) - sos ni pengganti garam
sedikit air

Cara membuatnya:
1. Masukkan bawang putih dalam kuali, panaskan kuali. Masukkan minyak zaitun. Minyak zaitun ni jangan dipanaskan tanpa bahan menggoreng sebab nanti sebatian kimianya bertukar menjadi minyak yang dah tak sihat.
2. Masukkan serbuk ketumbar, serbuk jintan dan cili jeruk. Goreng 1-2 minit.
3. Goreng tauhu sampai masak dengan api sederhana. Tutup kuali. Dah masak, angkat tauhu.
4. Guna kuali yang sama, goreng lobak merah. Tuangkan sedikit air dan tutup kuali 2-3 minit supaya lobak separuh masak.
5. Masukkan sayuran lain. Kacau rata. Tutup kuali 2-3 minit lagi supaya sayur sedikit lembut tapi jangan sampai lembik sangat. Masukkan sos ikan, Kacau dan rasa. Tambah sos ikan jika perlu.
6. Sedia untuk diratah sebagai hidangan makan malam. :-)

Sunday, March 04, 2012

Resepi: Sotong Goreng Tepung


Ni salah satu makanan kegemaran yang masih belum boleh dikorbankan demi kesihatan huhuhuhuhu.. sotong goreng tepung ada dua, satu lagi yang depa buat macam cucoq sotong. Aku tak suka yang tu. Kalau cucoq ikan takpa.

Bahan-bahan
Sotong segar - lebih segar lebih baik. Sotong dipotong gegelang.
Tepung gandum
Oat
Telur - dipukul. telur ni nak melekatkan tepung kat sotong tu.

1. Tepung gandum dan oat digaul rata.
2. Sotong dicelup (dicicah ke apa?) dalam telur dan digolek-golek dengan campuran tepung dan oat.
3. Goreng dalam minyak panas. Bagi dia masak dan tepung dah keras sikit baru balik-balikkan sotong. Hati-hati semasa menggoreng sebab akan mungkin akan berlaku letupan minyak panas.
4. Goreng sampai garing. Angkat, tos dan hidangkan. Sedap diratah, dicicah dengan sos cili, aku tak letak garam sebab nanti nak cicah sos pulak.

Boleh juga kalau cuma nak golekkan sotong tu dengan tepung saja dan terus goreng, tapi nanti minyak penuh tepung la dan sotong tak bersalut sangat. Kalau celup telur dulu, tepung tu melekat elok saja.

Tuesday, February 14, 2012

Jeng jeng jeng.....


Dapur dah siap. Yeay! Tapi salur gas tak beli lagi sebab tak dan nak pi cari yang panjang 3.5 m. Yang biasa ada kat kedai 2.5 m saja. Lebih panjang sebab tong gas tak letak bawah dapur, sebaliknya letak kat hujung kabinet. Ruang tak sesuai, maklumla nak letak rak pinggan mangkuk kat bawah tu. Mujur ada dapur letrik, jadi ada jugakla masak-memasak. Lepas tu oven pun ada, boleh la bakar-membakar dan panggang-memanggang. Lauk-pauk dan sayur-mayur saja la. Kuih-muih tak try apa lagi pun. Jadi buat masa ni tak ada lagi la paparan resepi. Insya Allah pada masa yang sesuai untuk memulakan aktiviti, boleh la letak. Setakat ni dok makan ikan/ayam bakaq, sayoq kukuih, nasi goreng dan megi. Takkan yang tu pun nak kena bagi resepi kan? Ekekekeke....