Free Delivery on all Books at the Book Depository

Thursday, November 08, 2018

Berlari: senaman yang murah, larian yang mahal.


Berlari dikatakan senaman paling murah. Beli kasut, pakai baju yang sesuai dah boleh mula berlari. Masa mula-mula bergiat aktiviti berlari, memang aku rasa yang ni la yang paling murah. Tukar baju, pakai kasut, boleh lari di sekitar rumah atau pun di stadium. Tengok cuaca macam mana. Berbanding nak berbasikal, nak kena beli basikal. Nak ke gim, kena bayar yuran. Jadinya, paling murah sebab tak perlu alatan atau bayaran yuran keahlian.  Tapi masalah utama nak bersenam ni adalah konsistensi. Ada masa rajin, ada masa jadi malas sangat nak pi. Trainer kat rumah tu pun bertukun saja. Kemudiannya, dengan niat asal untuk jadi external motivasi pada diri sendiri aku pun mula mendaftar untuk masuk acara larian. Yang pertama 5 km Perlis Marathon 2018. Kemudian, aku daftar 10 km  Alor Setar Half Marathon,  Tasik Melati Run, Sungai Petani Half Marathon, Northern Construction Run, NASOM Charity Run, Arau Rainbow Run, Coffee Run, Penang Bridge Marathon dan penutup 2018 Kangar City Run. Bersusun hang! Alor Setar tak lari walaupun dah daftar sebab demam selsema jadi tak tak berani nak pi takut satgi tersungkur sebelum tamat pulak.

Alhamdulillah, memang konsisten la training. Pasainya, kalau nak lari 10 km kena la training nak elakkan sakit otot lepas berlari. Kalau hujan, kena naik elliptical trainer.  Aku memang tak peduli langsung pasal medal ka baju ka. Sebab objektifnya adalah untuk lebih aktif.

Memandangkan kebanyakan acara larian pun sekitar Kedah Utara/Perlis saja, tak la terasa sangat perbelanjaan sebab bayar yuran penyertaan saja. Yang di Sungai Petani tu bila kena duduk hotel dan keluarkan belanja perjalanan pun masih okay. Aku memang ada peruntukan sukan/rekreasi bulanan. Kemudian, bila dah banyak masuk 10 km, terasa la pulak nak cuba Half Marathon, tapi pilihan untuk acara yang dekat tak ada sangat.

Aku mula rasa nak turun ke Kuala Lumpur tahun depan. Kena kira tambahan kos selain pendaftaran, penginapan, makan dan kos perjalanan. Tu belum ambil kira kasut nak kena beli tukar kalau dah lebih mileage, gajet tambahan tak ada sangat sebab aku guna yang sedia ada. Ada juga beberapa acara larian yang jadi pilihan. Yang pertama aku daftar Malaysia Women Marathon. Kos pendaftaran  dengan medal dia yang nampak cantik tu jadi RM79.50, tanpa baju event dan finisher tee. Hotel, untuk 2 malam RM450. Kos perjalanan dan makan kami bertiga anggaran lebih kurang RM600. Jumlah semua RM1130. Baru satu acara. Macam mana kalau aku nak masuk Standard Chartered KL Marathon dan Putrajaya Night Marathon? Lebih kurang RM3400, ditambah lagi dengan acara di sekitar utara pulak. Jenuh la. Lepas bila masuk pula group FB runners, banyak la yang dok promosi larian sana-sini. Score Marathon siap ada offer 13% kalau daftar untuk 2 larian. Tapi lepas kira pi mai pi mai, aku hadkan penyertaan aku ke acara yang jauh-jauh ni. Kalau ikut teringin memang nak masuk la, tapi matlamat asalnya macam tersasar dah, dan aku rasa ada banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan. Semoga tanpa masuk banyak acara pun aku masih boleh konsisten.

Wednesday, January 25, 2017

Kerabu untuk 5 hidangan sehari

La ni nak makan pun ada panduan. Pemakanan sihat sepatutnya ada sekurang-kurangnya 5 hidangan sayur atau buah setiap hari. Satu hidangan lebih kurang 80 gram.  Seeloknya buah yang manis dikurangkan dan sayuran dibanyakkan. Untuk mengawal masalah gula dalam darah, aku cuba penuhkan 5 hidangan dengan sayur-sayuran saja.

Gambar dari http://ww.sanjivanipharmacy.co.uk/c/54067c2ace4733995e8bb632a3814f8b

Tambah lagi, pilihan sayur juga perlu dipelbagaikan supaya menepati pula 5 warna pelangi sayur; merah, kuning/jingga, biru/ungu, hijau dan putih. Masalahnya, macam mana nak makan sampai 400 gram sayur setiap hari?

Gambar: https://now.ruelala.com/taste-vegetable-rainbow/


Ada banyak cara nak makan sayur ni. Yang pertama buat kerabu atau salad. Hiris nipis semua sayuran, gaul dengan perencah dan cukupkan rasa. Tapi kalau kerabu ni aku sorang saja yang makan. Ahli rumah yang lain tak makan. Orang kampung la katakan. Ada empat elemen penting untuk buat kerabu atau salad; sayur-sayuran, protein, lelemak dan perencah. Sayur-sayuran ni kalau nak buat kerabu boleh pilih saja rangkaian ulam-ulaman yang kita ada. Lepas tu protein sama ada nak letak isi ikan, ayam, daging atau telur. Lelemak pula, kalau kerabu melayu biasanya santan atau kerisik. Kalau kerabu siam ada kacang yang ditumbuk. Perencah pun bergantung pada setiap tempat. Kalau di Kedah biasanya belacan ditumbuk dengan cabai melaka atau lada hitam, garam dan gula. Tumbuk sekali dengan halia atau lengkuas. Kalau kerabu siam pula biasanya ada sos ikan dengan gula kabung, cabai dan serai dihiris nipis. Salad barat pula senang, garam, gula, minyak zaitun. Lagi senang letak mayonis saja, selesai kerja. 

Yang penting rasanya kena seimbang. Masin, pedas, masam dan manis. Kalau ada pahit pun mengancam juga, macam kerabu bunga betik atau kerabu pucuk mengkudu.

 Ni kerabu daun selom digaul dengan kacang kelisa, lobak merah, tomato, lada benggala kuning, bawang dan halia. Aku gunakan kerisik, belacan dan cabai melaka yang ditumbuk. Kemudian aku tuang setin tuna bercili. Perahan lemon untuk menambah perisa. Gula tak letak sebab tuna tu pun ada perisa juga.


Ni pula salad yang bersoskan mayonis dan perahan lemon. Timun, lobak merah, tomato dan gajus panggang berlaukkan daging salai. Taburan biji popi menambahkan kandungan serat dalam hidangan.


Aku tak pasti dengan orang lain. Tapi untuk diri sendiri memang aku pelbagaikan citarasa kerabu dan salad dengan mempelbagaikan empat elemen yang disebutkan. Kalau sama saja, cepatlah kita jadi bosan dok makan benda yang sama. Macam mana nak sihat dan cantik kalau malas makan sayur?

Thursday, November 03, 2016

Salad Ayam




Hari ni bawak bekal salad ayam untuk makan tengah hari. Nampak macam makanan yang sihat tapi jangan terpedaya naaa hehehe. Mayonis banyak tu. Lemak berkrim. Salad ni yang menyedapkan dia adalah dressing dia. Yang banyak kalori pun dressing dia la. Untuk hari ni aku guna isi ayam hat lebih buat ayam percik, carik-carik lepas gaul dengan sos dia. Untuk sos tu gaul sekali mayonis, sos mustard hat kuning tu dengan sikit puri tomato. Ingat nak guna sos tomato tapi sos dah habis jadi guna la puri tomato. Gaul sekali dengan serbuk atau lada hitam tumbuk tu. Garam tak letak dah pasai mayonis dengan sos mustard tu dah cukup masin bagi aku. Aku campoq sikit kuah susu hat aku guna untuk rebus jagung dalam noxxa. Susu tu ada la manis sikit. Ayaq lemon bagi masam, minyak zaitun bagi tambah lemak yang menyihatkan..kononnya hahahahah.

Dah siap sos dan dah rasa elok baru gaul dengan sayuran. Kalau tak siapkan sos salad awai-awai tunggu tuang dalam sayoq baru nak kacau-kacau nanti lebam pulak sayoq tu.

Salad Ayam

Isi ayam panggang/ kukus/rebus - disiat-siat

Sos Salad
Mayonis
Sos mustard
Puri tomato/sos tomato
Serbuk/kepingan lada hitam
Minyak zaitun
Perahan lemon
Boleh juga tambah serbuk paprika, paprika ni ada rasa panggang manis.

-Gaul semua bahan sampai sebati dan rasa ikut selera.

Sayuran (ikut apa yang ada di rumah, kalau ada ikut 5 warna ungu/biru, putih/perang, kuning/oren/merah, putih dan hijau tu lebih baik dan lebih berseri-seri)
Lobak merah - hiris julienne (oren)
Lada benggala merah dan kuning  (merah dan kuning)
Celery - dicincang (hijau)
Tomato (merah)
Bawang (ungu)

Tuesday, October 18, 2016

Cucur Keras Rangup Mi Rebus/Pasembor

Pasembor (dipanggil pasembot, bukan pasemboq) biasanya ada cucoq, timun, sengkuang dan telur rebus yang disiram dengan kuah yang sama dengan kuah mi rebus. Jadi biasanya orang jual pasembot ni ada sekali juai mi rebus. Setengah orang panngil sebagai mi rojak atau rojak mamak. Namun, pasembot ni bahan-bahan lebih humble, tak banyak dan mewah macam rojak mamak. Kalau rojak mamak ada sekalli udang, sotong, segala macam bebola dan telur rebus yang digoreng tepung, pasembot ni lebih humble dan simple, kecuali pasembot mee abu la dia letak paru rebus. Tapi bahan killer dia mestilah cucoq dia tu dengan kuah dia. 

Mi rebus utara juga tak sama dengan mi rebus selatan. Mula-mula tengok resepi mi rebus Chef Wan aku pelik juga pasai pa aku tak pernah tau mi rebus kena boh taucu. Rupanya tu mi rebus jawa. Haaa nama sama tapi isinya berbeza. Mi rebus utara kuah dia tak ada daging, daging kita letak masa dihidangkan kecuali kalau mi rebus tulang. Ada cucoq mi rebus.

Cucoq mi rebus ni yang aku dok cuba buat. Tak lengkap mi rebus tanpa cucoq ni walaupun biasanya kalau di rumah-rumah jarang ada pasai lecey nak buat. Last aku try buat cucoq ni masa buat pasembot di St Vincent Terrace dulu. Berapa kurun dah tu hahahaha!

Sejak balik, lama dah dok berazam nak buat ni. Biasanya mi rebus/pasembot yang aku rajin beli mestilah mee abu di Alor Setar. Kalau balik Pendang beli Pasembor Daud. Masa kecik dulu aku suka Mi Mastan. Nostalgik betoi. 

Okay, nak cerita resepi pasembot ni. Kita tengok gambaq la dulu.

Kuah mi rebus aku tak pedas sebab Yusuff nak makan, jadi aku buat sambai sotong kering supaya lebih berperisa. Sedap weh! 


 Nindia! Semangkuk mi rebus penuh kalori. 

phewit! Kali ni jadi wei aku buat cucoq rapuh ni. kembung, rangup gebu. 

Resepi Cucur

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
3 camca besar tepung jagung
1 camca besar yis
1/2 camca teh baking soda
1 camca teh gula dilarutkan dalam 2 cawan air suam
3/4 camca teh garam
kucai dipotong panjang 1 inci
1 camca besar udang kering- direndam dan ditumbuk halus

1. Larutkan yis dalam air gula. Tunggu dalam 5-10 minit. 
2. Bancuh tepung dalam bancuhan yis. Kalau nak buat macam aku buat cayaq sikit bila tuang dalam belanga dari tepi dia meleleh masuk dalam minyak.Ada juga orang buat dalam bentuk silinder. yang ni kena buat pekat sikit, boleh tambah nyoq kering dalam tu. Masa nak tauk dalam belanga tu tarik sikit bagi panjang supaya dia tak padat.
3. Peram bancuhan tepung lebih kurang sejam. Bila nak goreng boleh campoq dulu udang kering tumbuk dengan kucai. Gaul rata.
4. Aku try goreng guna 2 cara. Mula-mula letak 2 camca besar adunan dalam senduk bulat yang dah dipanaskan dalam minyak. lepas tu masuk dalam minyak panas. Tunggu bagi tepung masak dan tolak cucur daripkada senduk bulat tu. Tapi jadi lambat pulak walaupun cucoq nampak bulat elok (sila rujuk gambar atas). Lepas tu aku tuang ja dalam belanga, tuang memanjang supaya tepung tak tebai. Atau boleh juga tuang dari tepi belanga.
5. Cucoq ni boleh buat awai, simpan dulu. Ala, macam kat kedai la dia buat cucoq awai-awai kan. Tapi yang ni memang jadi la. Alhamdulillah berpuas hati.

Monday, October 03, 2016

Tip Belanjawan: Bayaran Komitmen Tahunan

Ini yang aku amalkan. Mungkin ada orang lain juga yang buat macam aku atau ada strategi lain menguruskan duit untuk bayaq komitmen tahunan macam penyenggaraan kereta, insuran kereta, cukai jalan, cukai pintu, cukai tanah dan cukai pendapatan/zakat bagi yang tak buat potongan gaji.

Taraaaa!! Tradisional sangat kan


Dalam belanjawan aku, ada tiga tabung yang perlu disediakan untuk peruntukan bayaran tahunan. Kalau tunggu dekat masa nak bayaq baru gelut nak cari duit memang pengsan la kan. Jadinya, semua bayaran ni dah dimasukkan dalam belanjawan tahunan yang perlu disediakan. Aku sediakan tabung-tabung macam dalam dalam gambaq di atas tu, masukkan duit dalam tu tiap-tiap bulan. Berapa nak masukkan duit dalam tu? Kena buat anggaran la...

Contoh: untuk tabung insuran kereta, servis dan cukai jalan.

Jangkaan insuran kereta : RM 1200.00
Cukai jalan (yang ni tetap): RM300.00
Servis: RM500.00 x 4 kali servis = 2000.00

Jumlah =  RM3500.00
Komitmen simpanan bulanan = RM3500/12 = RM291.67

Jadi, setiap bulan, dalam senarai perbelanjaan tu kena la masukkan RM292 atau boleh genapkan RM300.00 dalam tabung. Barula bila masa kena bayaq tak terketaq. Servis tu termasukla servis berkala atau kalau kena tukaq bateri ka tayar ka. Kalau tayar kena tambah sikit la,sebiji tayar dah berapa kan. Masukkan lah semua dalam kiraan belanjawan. Kalau nak beli kereta kena masukkan komitmen ni bila nak kira cost of ownership, bukan setakat kira harga beli kereta saja. 

Kalau tak mau buat tabung macam ni, boleh juga sediakan satu akaun bank untuk kereta saja. Masukkan duit dalam tu. Asalkan jangan hilang ingatan duit tu duit komitmen la, satgi takut pi shopping sakan pulak hahahaha


Saturday, October 01, 2016

Kek Mentega Oren Noxxa



Minggu lepas ibu mertuaku balik dari Mekah. Dia ni kalau di rumah lebih suka masak sendiri berbanding beli. Jadi bila ke Mekah, dengan makan hidangan katering dia jadi tak lalu makan. Ada juga masalah kesihatan lain. Bila tak lalu makan badan pun lemah. Jadinya nak sambut dia balik dan nak bagi ibunya kembali berselera, anak dia pun masak rendang tok. Kami balik Pendang ambil pekasam dari rumah kak aku. Aku pula kononnya nak buat 2 biji kek mentega. Ha la wei, buat satu takut tak cukup pulak bila berkumpul ramai-ramai ni. Kami bertolak pagi Jumaat, aku ambik cuti la. Sebabnya kalau pi Sabtu balik Ahad risau pulak Yusuff kepenatan. Jadinya, aku dan rancang la nak buat kek malam Jumaat tu. Bakaq dalam Noxxa sat saja.

Kisahnya, Yusuff la ni dah mula menyibuk di dapoq. Jadi kerja-kerja membuat sebiji kek yang bermula pukul 830 malam lebih kurang, pukul 11 lebih baru siap dibakaq. Kek pertama kek mentega dibuat marble 3 warna. Semua mangkuk adunan dengan pewarna dia nak tolong kacau dan tuang. Lambat la jadinya kerja aku. Bagi Yusuff tidoq dulu la. Kalau dak pakai tak jadi hat nombor dua. Nak bagi tidoq Yusuff dengan aku sekali la tidoq jadinya. Bangun 1 pagi. Tak upaya la nak buat kek marble dah, leceh nak bahagi 3 adunan, nak campoq serbuk koko la pewarna la. Nak tuang lagi berselang-seli. Jadi aku pun cari idea kek mentega yang ringkas, siap sekali tuang saja. Itu yang pi buat Kek Mentega Oren. Ubah suai sikit la dari resepi di blog My Kitchen Snippets. Sebabnya mentega dia pakai batang tu 227g, mentega aku satu blok 250g. Malas dah nak berbaki, aku masuk saja satu blok tu. Dan aku tambah susu segar dan ovalette dalam adunan serta gula dikurangkan. Sapa nak try resepi aku dipersilakan ya. Kek ni lembut dan gebu-gebas.


Nampak dak kegebuan dia?

Kek Mentega Oren

250g mentega (dibiarkan pada suhu bilik 1 jam supaya lembut)
180g gula pasir halus
270g tepung gandum
2 cmt baking powder
4 biji telur besar
parutan kulit 1 biji oren
5 cmb perahan jus oren
1 cmb ovalette (pilihan)
4 cmb susu segar (pilihan)

Cara membuatnya
1. Ayak tepung gandum dan baking powder. Kalau rajin boleh ayak 2-3 kali.
2. Parut kulit limau. Parut elok-elok jangan ambik sekali yang spongy tu. Pahit.


3. Perah jus oren dan Tapis. 5 cmb tu tak sampai sebiji pun. Lebih tu aku telan la. Haha


4. Pukul gula dan mentega sampai kembang. Gula hancur sepenuhnya dan warna adunan krim. Gula pasir halus ni sekilo mahai sekupang daripada gula pasir biasa. Atau kalau hampa kaya boleh guna gula kastor.




5. Masukkan ovalette. Masukkan sebiji telur. Pukul adunan dengan kelajuan tinggi sebab nak kembangkan telur dan nak sebatikan ovalette yang pekat tu dengan adunan. Tambah telur satu persatu diselang seli dengan pukulan sampai kembang. Lepas semua telur dah dimasukkan pukul lagi 3-4 minit dengan kelajuan tinggi.
6. Masukkan tepung 3 kali, diselangselikan dengan jus oren dan susu. Boleh guna senduk untuk gaul atau macam aku guna mixer tapi kelajuan paling rendah.
7. Masukkan adunan dalam inner pot Noxxa. Hentak 1-2 kali. Steam dalam Noxxa 27 minit, lepas habis tempoh nya biarkan dalam periuk tu selama 5 minit. Guna lidi untuk tengok sama ada kek dah cukup masak.
8. Keluarkan inner pot, rehatkan dalam 10 minit. Keluarkan kek dan sejukkan.




Friday, September 30, 2016

Bertanya biar kepada ahlinya

Jika perlukan motivasi untuk meneruskan perjuangan, jangan melihat kehidupan yang tersurat dan terpapar di media. Keluarlah dan berada di medan. Lihat bagaimana mereka yang punya sedikit berjuang sepenuh kudrat. Motivasi yang terbaik adalah dengan kita sendiri memerhati yang di bawah dan di atas. Yang di bawah mengajar supaya berjuang sepenuhnya, yang di atas mengajar bahawa kejayaan milik sesiapa yang berusaha. Kejayaan tak datang jika kita berharap Duduk Diam Dapat Duit.

Bertanya biar kepada ahlinya. Mahu belajar berniaga, carilah mereka yang punya pengalaman pasang surut berniaga. Bukan yang yang menjana untung memberi motivasi supaya berniaga. Berniaga juga perlukan strategi dan taktiknya. Berniaga, juallah barang jangan jual orang.

Mahu anak sembuh bawalah kepada doktor. Mereka tidak mengetahui semuanya tetapi mereka akan bertanya kepada yang lain. Kerana setiap penyakit ada ubatnya, bukan satu ubat seribu penyakitnya.

Wednesday, September 28, 2016

Seni Memasak dan Membakar

Memasak nasi, lauk-pauk dan membakar kek atau roti adalah satu kemahiran seni. Untuk menguasainya mau ka tak mau mesti kena buat praktikal. Sebab tu mana-mana kelas berkaitan masakan atau membakar biskut/kek/roti tak ada yang buat kelas teori saja. Peserta mesti kena buat sendiri lepas ditunjukkan demo oleh cikgunya. Itu juga sebabnya satu resepi yang sama hasilnya mungkin berbeza. Sebab tu kalau dapat satu resepi kena la rajin tengok resepi yang lain apa bezanya.  Kalau kita fokus satu resepi, bila tak jadi kita pun tak tau sebab apa. Kalau boleh cari maklumat supaya kita tau fungsi setiap bahan.

Kalau memasak, resepi hanyalah sebagai panduan, kita boleh olah sendiri bahan dan sukatan bahan boleh dikurang/dilebihkan. Tapi kalau nak buat biskut/kek/roti, untuk dapatkan hasil yang baik kena ikut resepi betul-betul dari segi bahan dan sukatan melainkan kalau kita dah biasa buat. Sebab bahan-bahan yang digunakan ada fungsi tersendiri. Tak macam kita buat sayoq campoq boleh masukkan apa saja sayoq yang ada. Syaratnya kena ada minyak, bawang, protein, sayoq dan letak garam/gula. Tapi dalam baking, baking powder dan double action baking powder pun ada beza.

Nak shortcut belajar, boleh pi kelas. Pastikan cikgu tu ada ilmu dan kemahiran. Tapi shortcut macam mana pun masih kena ada praktikal. Kena sendiri buat baru kita tengok sendiri. Kalau jenih yang macam aku, rajin menggodek resepi dan cuba buat pun boleh juga. Belajaq dari pengalaman. Orang dulu-dulu tak pi kelas tapi depa belajaq dengan jadi pembantu di dapoq dengan orang pandai. Cuma la ni banyak sangat kelas-kelas yang overrated. PJJ sana PJJ sini.Mahai melampau kadang-kadang tu, yang ajaq tu tak sepakar mana. Kalau memang orang yang dok menjual takpa la.Ni kalau dia pun baru pi kelas, lepas tu pi buat pulak kelas guna resepi yang dia belajaq. Menipu tau!

Anak menakan aku pernah pi kelas roti, kek dan pastri. Mahai la. Tapi belajaq dengan orang yang tau teori ni lebih elok. Contohnya hari tu kecoh sat pasai ada orang jual bahulu letak pengawet potasium sorbat ka apa namanya. Satu camca kecil untuk adunan tak sampai sekilo tepung sedangkan dalam industri makanan sepatutnya sukatan tu untuk kuantiti tepung yang banyak. Kalau siapa yang belajar formal memang tau, tapi yang jual tu kata dia tanya dengan kawan dia saja.  Bahan kimia tu pulak boleh merosakkan buah pinggang. Sebab tu aku kata kita kena tau fungsi bahan dan sukatan.

Kalau dapat, aku pun teringin nak pi kelas roti. Masih dok mencari rentak meroti. Dah beberapa kali buat masih tak puas hati. Teringin jugak nak buat cakoi yang rangup diluar dan lembut dengan rongga yang besaq di dalam.

Kemahiran memerlukan pengalaman dan pengetahuan, jangan dok bagi alasan tak pandai. Kalau tak pernah buat memang la tak pandai. Bila dah selalu buat, kita rasa makanan pun boleh kenai bahan apa yang digunakan, apa yang lebih apa yang kurang. Boleh la mereka resepi sendiri pulak :D

Wednesday, September 21, 2016

Cerita Kedai Buku

Aku suka membeli dan membaca. Tapi selalunya dan beli tapi tak dan baca. Hahaha! Banyak dah beli pun dok kira nak beli lagi. Ada buku boleh pi beli di kedai, tapi ada yang tak masuk ke Malaysia pun. Ada yang masuk tapi harga mahai pulak. Harga buku tak kira tempatan ka import ka memang mahai la. Tapi dari segi availability, kalau buku tempatan biasanya aku boleh cari di kedai buku, tu pun tak semua ada. Macam kalau pi cari Kedai Buku Hasani, kurang buku import omputeh. Kalau hampa cari novel banyak la. Tapi aku tak minat novel kecuali beberapa penulis. Buku agama terjemahan pun banyak. Tapi okay la, beli buku ada diskaun, alat tulis pun ada diskaun.  Buat kad pun percuma sebab aku warga pendidik :)

Kalau tak jumpa, aku ada juga beli buku dari MPHOnline. Kadang-kadang ada diskaun. Tapi kena beli lebih RM150 untuk dapatkan penghantaran percuma. Kalau ke Kuala Lumpur boleh la singgah ke Gerak Budaya. Buku-buku di situ lebih serius bukan untuk meringankan otak macam novel cintan cintun imaginasi penulis yang selalu diadaptasi ke drama tivi petang-petang. 

Aku pernah jugak beli buku terus dari penjual di luar negara. Tak semua buku boleh didapati di Malaysia. Kadang-kadang ada tapi harganya lebih mahal. Kalau buku berbahasa Inggeris aku beli di Book Depository. Rasanya syarikat ni dari Britain. Ada pilihan lain kalau nak di Amazon, tapi aku lebih suka Book Depository sebab tawaran penghantaran percuma. Kalau Amazon nak kena bayar international shipping lagi. Jumlah tu menjadikan harga lebih kurang saja, selalunya lagi mahal berbanding Book Depository. Selalu kalau nak beli aku bandingkan harga di MPH juga. Kalau lebih mahal di MPH aku beli di BD. Kalau hampa nak cuba boleh pi browse tengok buku-buku pilihan hampa di Book Depository.

Pernah juga beli buku dari Bandung. Harga buku di sana memang murah tapi bila dicampur kos penghantaran taklah murah sangat. Masih boleh dipertimbangkan kalau nak beli buku-buku yang tak ada di sini.

Sekali dua aku minta anak menakan tolong belikan buku di kedai buku UM. Murah juga harganya. Kinokuniya aku pernah beli sekali saja kot. Jarang sangat ke KLCC. Kad ahli pun tak ada. Popular pun aku tak ada kad ahli. Kadang-kadang nampak macam diskaun dia agak berbaloi. Tapi tu lah, isunya adalah bila masa nak baca buku-buku satu almari tu? Hahahaha!

Monday, September 19, 2016

Mirza Ghassemi



Nama sedap aihhh...boleh la ambik buat nama watak hero novel lepas ni hehe. Mirza ghassemi ni hidangan pembuka selera dari Parsi. Jenih macam salad gitu. Sangat berkhasiat, makan saja sedap, cicah roti pun sedap, jadi lauk nasi pun sedap juga. Bahan utamanya terung, tomato dan telur. Kalau yang tengah berdiet rendah karbohidrat pun sesuai juga makan ni. Potong timun dan cicah mirza ghassemi. Sihat sangat! Aku ambik  resepi dari blog mypersiankitchen dan diubahsuai mengikut bahan yang ada didapur. Selagi mana kita tau bahan yang equivalent dengan bahan yang disebut dalam resepi.

Bahan-bahan
4 biji telur
2 biji terung besar
6 biji tomato, dicincang
2 cmb bawang putih yang telah ditumbuk halus
2 cmt serbuk kunyit
garam
lada hitam ditumbuk
1/2 cawan minyak zaitun (light, jangan guna extra virgin)

Cara membuat:
1. Cucuk-cucuk terung dengan garfu. Panggang terung sampai lembut lebih kurang 20 minit. Buang kulitnya. Tunggu sejuk dan lenyek isi terung.
2. Sementara tunggu terung sejuk tumbuk bawang putih sampai halus jadi puri.
3. Pecahkan telur, Perasakan dengan garam dan lada hitam. Pukul telur sampai berbuih frothy.
4. Panaskan separuh minyak. Tumis puri bawang putih, Kacau biar masak rata. Jangan sampai hangit sudah. Masukkan serbuk kunyit, kacau lagi 4-5 minit. Tuang telur dan kacau. Masak macam telur hancur.
5. Bila telur dah masak angkat telur. Tuang baki minyak. Masukkan tomato dna isi terung. Kacau rata. Masukkan lada dan garam.
6. Masak dengan api sederhana panas dengan periuk bertutup sampai campuran tu hampir kering. masukkan semula telur hancur dan kacau rata sehingga semuanya campur elok. Tutup api dan mirza ghassemi sedia untuk dinikmati.

Wednesday, September 14, 2016

Kek Minyak Noxxa

Dah dekat setahun aku guna periuk tekanan Noxxa ni. Dulu masa masih belajar beli periuk tekanan manual. Yang letihnya bila kena kawal api dapur sendiri. Bila tekanan tinggi kena matikan api. Masa pun nak kena pandai tengok. Lama jugak dok fikir nak beli tak beli periuk tekanan Noxxa ni. Bukan apa, dah ada yang lama. Tapi bila fikir tak gaduh nak kawal api dan jaga jam ku teruskan juga niat dihati. Hehehe

Biasanya guna periuk ni untuk masak sup, nasi-nasi beraneka jenis, pizza dan pasta. Cepat siap. Masak nasi lemak tak sampai 15 minit. Tapi untuk raya haji ni aku cuba masak kek minyak. Dah ramai orang cuba bakar kek guna periuk ni dan mendapat hasil yang diingini. Jadi, rasanya kena la cuba jugak kan. Aku guna resepi kek minyak saja. Untuk percubaan kan. Hasilnya kek memang gebu, tapi pastikan telur dan gula dipukul kembang la. Hampa boleh cuba la. Takdak Noxxa pun boleh aihh. Guna oven biasa atau kukus. Takdak masalah. Periuk Noxxa hanyalah alat. Tapi guna periuk ni tak gaduh la guna oven dan tin pembakar kek dah. Senang!

Gebu!

Kek Minyak

5 biji telur
1/2 cawan gula kastor
1 cmb ovallette
1 cwn susu pekat
1 cmt esen vanila
1 cwn minyak
2 cwn tepung gandum
2 cmt baking powder
2 cmb pati oren/mangga @sunquick(tak mau pun takpa)
Pewarna yang sesuai
Sedikit garam

Untuk pes coklat atau boleh ganti dengan chocolate emulco
2 cmb serbuk koko
4-5 cmb air panas
1 cmt serbuk kopi segera (jadi pes mocha- tak mau pun takpa)

Cara membuat:
1. Bancuh pes koko/mocha kalau tak mau guna emulco.
2. Ayak tepung, baking powder dan garam halus (boleh ganti dengan tepung naik sendiri).
3. Pukul telur, ovallete dan gula sampai kembang menggebu. Masukkan susu dan esen vanila. Pukul lagi.
4. Masukkan minyak. Kacau rata.
5. Masukkan tepung gandum dan gaul rata. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan gaul dengn pewarna/pes/emulco. Adunan yang kosong digaul dengan sunquick/pati oren@mangga.

Buat corak sikit.

6. Tuang dalam inner pot noxxa.
7. Steam 30 minit. Bila dah cukup 30 minit guna lidi untuk tengok kek dah masak. Kalau belum masak tambah la masa steam lagi 3 minit. (update: kalau nak kurangkan kegaringan boleh set steam 25 minit. Habis masa tu tekan butang off dan biarkan periuk selama 5-10 minit, jangan dibuka lagi)
8. Keluarkan kek yang dah masak dan sejukkan.
9. Boleh bakar biasa guna loyang 9 inci. Lenser dengan mentega dan alas dengan baking paper. 170°C selama 40 minit atau kukus 45 minit.


Corak pi mana habih dah

Wednesday, February 17, 2016

Tumpang Nama Sunnah

Itu sunnah ini sunnah. Kalau kita tengok iklan jualan la berapa banyak produk depa boh atas nama sunnah. Paling ketara la ni makanan sunnah la. Minyak zaitun, habbatussauda', kurma, cuka kurma dan madu yang dijual paling banyak aku rasa dok guna nama sunnah. Lepas tu mai pulak pati delima, jus delima, gum arabic hat nama manna dengan tayyibat. Lepas pakat dok minum susu kambing, makan daging kambing. Belum kira lagi hat aiskrim pun kata makanan sunnah sebab Nabi suka makanan yang sejuk (sejuk=aiskrim?).

Yang sebenaqnya, apakah yang dimaksudkan makan ikut sunnah ni? Adakah Nabi suruh kita pulun pi usaha cari makanan Arab untuk kita makan supaya jadi ikut sunnah? Hat dok juai makanan yang didakwa makanan sunnah ni, hampa kaji dak Nabi makan apa yang hampa juai tu tiap-tiap hari ka?

Nabi makan apa tiap-tiap hari? Yang aku dok jumpa, Nabi makan sehari dua kali. Selalu juga baginda posa kalau tak ada makanan di rumah. Jangan kata hampa, aku pun suka makan gulai kambing cicah roti (benggali lagi), tapi berapa kali sebulan Nabi makan macam tu? Nak makan kambing makan la, tapi jangan dok juai nama Nabi. Nabi makan makanan yang hampa juai dan tak pernah sakit? Hampa baca kat mana? Ostat hat juai tu kata? Ostat tu dapat dari mana kata macam tu? Hampa juai cuka kurma pastu hampa claim kata tu rahsia orang Arab tak dak sakit jantung apa semua walaupun dok makan daging selalu. Halo! Statistik mana hampa ambik? Orang Arab tu pun makan kambing tak juai nama Nabi tau! Meluat aihh

Cara, adab dan pemilihan yang penting. Asasnya kena halal dan yang elok. Kemudiannya jangan melampau. Makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Nabi makan dengan sederhana dan jenis makanan tak banyak. Nabi tak makan makanan mewah kecuali yang dihadiahkan. Eat locals and things that are in season. Gaya hidup baginda sangat minimalis walaupun masa tu istilah minimalis belum ada.


Tuesday, October 20, 2015

Nasi Safron



Ini menu raya baru-baru ni. Safron atau za'faran dibeli dah lama tapi tak buat apa, kononnya nak buat nasi mendy la. Dah beratus kali mandi pun tak jadi-jadi jugak nasi mendy. Rugi la pulak kan. Pengeluar utama safron ni Iran dengan Turki. Jadi kira ala Parsi la ni. Nasi ni masak macam nasi minyak juga.

Secubit safron digesek bagi hancur. Secubit lagi ditambah ke dalam lesung. Tuang sedikit air panas dan ketepikan. Tumis bawang dalam minyak sapi campur minyak zaitun. Nak guna rempah penumis pun boleh: bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga, kulit kayu manis dan lada hitam biji. Masukkan beras. Tuang air safron dan goreng seketika. Masukkan air mengikut sukatan beras. Masukkan garam. Masak nasi sampai air kering, leraikan nasi. Tutup periuk dan teruskan masak dengan api perlahan lebih kurang 10-15 minit selepas air kering. Bila dah masak leraikan lagi nasi, kaup dari tepi periuk supaya beras tak patah. Lepas tu boleh la dihidangkan dengan lauk-pauk yang sesuai. Aku masak udang masala untuk kali ni.

Nasi ni ada bau safron, sapa yang pernah makan akan boleh tau. Sedap.

Monday, June 29, 2015

Pewarna hijau daun asin-asin






Aku buat buah melaka ni untuk buka posa kemarin. Warna hijau daun tua kan? Aku tumbuk daun asin-asin dengan pandan untuk pati warnanya. Kalau guna pandan kan hijau dia muda sikit, lepas tu tak mau guna pewarna atau pes. Daun tu selalu dibuat sayoq lemak jadi dah tentu la selamat kan. Tak berani nak bagi kat orang pasai takut pati asin-asin ni ada rasa pahit ka apa ka. Alhamdulillah menjadi. Dah habis pun buah melakanya. :)

Monday, June 15, 2015

Kereta

Kereta yang aku guna la ni, masa beli dulu memang aku takdak plan pun nak jual. Apa yang kita rancang tak semestinya kekal kan. Sebab tu perancangan nak kena review dan review. Hujung tahun lepas aku ambik keputusan nak jual kereta sebab Ariff berhenti kerja untuk jaga Yusuff di rumah. Tapi tak dan nak menguruskan penjualan sebab Yusuff masuk wad lagi. Tertangguhlah hasrat sampai minggu lepas.

Memandangkan bulan 8 ni dah nak kena renew asei (hasil-cukai jalan) kereta aku, aku rasa elok dijual sebelum nak bayaq insuran yang seribu lebih termasuk GST tu. Hari Sabtu kami pi survey nak tengok kereta kecik yang sesuai untuk gantikan kereta yang ada tu. Yang penting nak tau harga depa nak ambik kereta tu berapa. Kawan Ariff yang jual kereta terpakai kata dia boleh ambik dengan harga RM64000. Mula-mula pi Perodua. Memang ada plan nak ambik MyVi saja. sesuai la nak bergerak sekitar nak pi kerja saja. Harga memang dah tau. Cuma harga trade-in tu menyedihkan la. Depa nak ambik RM48000 ja. Sentap! MyVi RM45000. Pi mai pi mai tolak sana sini mungkin la dapat RM2000 lebih. Terus tawar hati nak beli dah. Lepas tu pi VW, trade-in agak tinggi la. RM55000 tapi rega Polo hat paling murah pun RM91000 weh! Huhuhu..

Next, Suzuki swift yang murah sikit. RM65000 dengan basic spec. Siap test-drive. Better daripada MyVi tapi harga tak menepati objektif. Tapi pulun jugak lagi pi tengok Ford Fiesta Eco boost. Naaa haii! RM92000. Cantik, memang menarik tertarik la hati. But it defeats the purpose. Elok-elok tak ada hutang buat apa nak menambah hutang kan?

Esoknya survey lagi. Haaa... rupanya tak putus asa lagi tu. Hahahaha.... Kali ni Kia pulak. Picanto. Dia letak punya besaq la price tag RM18000 kat atas bumbung kereta. Aku ingatkan kereta harga RM18000. Hahaha... rupanya rebate saja. Tu pun kalau beli kereta manual dia. Kalau beli auto, rebate cuma RM3000. Tapi kalau auto dapat rebate banyak tu, dia ambik kereta lama RM48000 pun pakai jadi dah. Nak jual kereta lama dan beli kereta kecik sebab nak dapatkan duit lebih dan melabur. Nak buat simpanan untuk kami sekeluarga. Tapi nampaknya kena kembali berpegang pada plan asal la. Pakai saja kereta tu sampai berkarat dan relai. Hahaha

Friday, November 14, 2014

Kembali berblogging

Lama betul aku tinggalkan blog. Kalau rumah mesti dah reput bersawang. Banyak nak cerita tapi tak tertaip. Di blog ni boleh tulis la lebih-lebih sikit, lepas tu disable comment. Haha

Nanti-nanti la, bila dah banyak masak bertambahla entry blog dengan resepi. Sebenaqnya kan, tulis resepi kat blog ni senang. Pi mana-mana tak payah dok usung buku resepi. Yang lama-lama pun senang cari. Lagi satu, bila ada satu resepi yang kita selesa, senang nak cari. Tak dak la tiap kali masak terkontang-kanting google resepi. Hehe.. sebab kadang-kadang aku salin resepi. Buka blog masuk dapoq. Lepas bila dah lama tak ingat ambik resepi sapa. Bila dah buat entry kat blog senang. Tak gitu?

Masa sebelum bersalin, ada juga dok cari bacaan untuk persediaan bersalin. Ntah cari kat blog mana, aku catit kat buku. Bila dah lepas terus lupa. Bila nak bagi petua kat orang tak tau letak buku kat mana. Jadi, nak kena tulis jugak la nanti.

Wednesday, September 04, 2013

Rasionalisasi Subsidi Minyak (a.k.a.rega minyak naik)

Ramai yang cuba jadi pakar ekonomi dengan kenaikan harga minyak kesan pengurangan subsidi, kata sesetengah orang. Perlu jadi pakar ekonomi kah untuk memahami kesan kenaikan harga minyak? Anda lupa kah ilmu itu ada bahagian teori, datangnya daripada membaca buku-buku, ada satu lagi sumber ilmu iaitu pengalaman dan pemerhatian. Anda cuma perlu rajin memerhati dan berfikir. Rakyat kebanyakan mungkin tidak belajar teori ekonomi, tetapi mereka berhadapan dengan keadaan yang berlaku. Cuma tak dapat nak menerangkan dengan menggunakan mathematical correlations saja.

Anda kecoh kerana orang mempertikaikan kenaikan 20 sen itu, anda katakan harga itu lebih murah berbanding di kebanyakan negara. Anda bandingkan dengan Singapura, anda bandingkan dengan Thailand, anda bandingkan dengan Britain. Tolonglah, jangan memandang dari satu dimensi saja. Lihatlah dimensi lain. Kenaikan harga berlaku di serata dunia, tapi apa kata anda lihat juga bagaimana pengurusan negara di sana. Bandingkan sekali ketelusan dan integriti pengurusan harta negara. Kemudian lakukan prioritisation. Ya, subsidi perlu dikurangkan, kerana keperluan pembangunan negara. Tapi, bagaimana pula ketirisan wang pembangunan negara?

Mana yang lebih penting, hapuskan ketirisan dalam projek pembangunan atau kurangkan subsidi? Penghapusan penyelewengan pengurusan akan merugikan sebahagian kecil kroni  yang mengaut kekayaan, pengurangan subsidi akan memberi kesan kepada majoriti rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah. Banyak mana pun pendapatan, disalurkan untuk pembangunan, selagi masalah penyelewengan tak diatasi, takkan cukup. Hapuskan penyelewengan, jimatkan kos pengurusan pembangunan, hapuskan ketirisan, dan para menteri dan kroni jangan lagi boros dan rakus memenuhkan tembolok masing-masing. Jika segala langkah penjimatan telah dilakukan, masih juga pengurangan subsidi diperlukan, langkah ini akan diterima dengan lebih tenang. Kerana kami rakyat bukanlah buta dan bodoh.

Saturday, March 09, 2013

Hari 4, 1st cycle Gaya Hidup SIhat

Hari ni dah hari ke berapa, sudah cheat day. Dok attend bengkel dan lawatan sampai tak dan nak update blog. Sangat tak dedikasi. Hari ke 4 dalam cycle ni adalah pada 22 Februari yang lepas. Jenuh la nak backlog, takpa. Nanti aku update bagi cukup contoh menu planning untuk seminggu naa.....

Sarapan
2 keping wheat biscuits.
1 gelas susu skim + protein powder
sebiji telur goreng dgn minyak kelapa

Tengah hari
Nasi
Sayur goreng
Ikan masak kari
Ulam timun

Petang
Susu skim + protein powder
1 keping keledek goreng
2 keping goreng pisang

Malam
Mi bandung

Jumlah kalori 1785. banyak kan? Sebab aku dah makan keledek dan pisang goreng, jadi dengan gigihnya aku kena naik cross trainer la. Nak buang kalori berlebihan. 40 minit tu, selalu 30 minit ja. Aku plan nak beli supplement carb blocker, selalu sangat terbabas dengan nasi dan selalu sangat teringin nak makan goreng-goreng ni.

Untuk sumber protein, aku minum protein drink daripada soya. Hari tu ada juga beli almond milk + serbuk quino. Selain daripada soya, aku cuba pelbagaikan sumber protein sebab soya berlebihan pun tak berapa elok untuk badan.

Thursday, February 21, 2013

Hari 3, 1st cycle Gaya Hidup SIhat

Dear Diary, cewahhhhhhh...... dulu-dulu ramai ada diari. La ni tak tau sapa lagi yang pakai, organiser dengan planner aku tau la ramai pakai. Sama macam buku la ni pakai ebook atau kindle. Tapi, aku rasa tak syok la baca buku-buku pelesu ni. Aku lebih suka buku bercetak, boleh pegang, boleh bau. Ada physical attachment... gitu...melalut sampai ke laut pulak dah.

Jadinya, dah masuk hari ketiga ni, ada la yang menjadi, ada yang dak. Kalori belum lagi mencapai target, terlebih la sebab ada foul mudammas yang disiram dengan meriahnya dan berlinangan dengan minyak zaitun. Walaupun minyak zaitun tu depa kata lemak baik, lemak tetap lemak. 1 gram lemak dapat 9 kalari, sedangkan karbohidrat dan protein dalam jumlah yang sama cuma 4 kalori. Bayangkan ler jumlah kalori dengan foul mudammas yang semalam tu kan... hehehehhehe

Sebenarnya kacang tu aku plan nak buat lunch, makan dengan sekeping roti. Pagi aku makan susu+protein powder tuang dalam wheat biscuit macam Weetabix tu. Malangnya pagi tadi mangkit lambat, tak dan dah nak makan kat rumah. Sempat minum susu je, lepas pi opis makan roti cecah kacang. Habis dah lunch aku. Kena pulak pi makan nasi kat kedai, lauk pulak banyak dah habis. maka bertambah-tambah la kalorinya. Esok pun rasanya akan lunch di kedai jugak, tak masak apa malam ni. Harapnya aku bertabah menghadapi dugaan esok.

Amalan harian la ni, pagi-pagi minum segelas air dicampur 2 cmb cuka epal + psyllium husks untuk serat dalam badan. Ya la, kadang susah nak dapatkan 5 hidangan serat tu. sepanjang hari  aku cuba dapatkan 3 liter air. Masukkan air dalam bekas 1 liter tu dan habiskan pagi 1 liter, petang seliter, masa workout dan lepas workout. senang nak sukat.

Untuk hari ni, dinner aku tak makan banyak sebab siang dah banyak kalori ditelan.
Berat hari ni: 62.3 kg (100g pun jadila)
Gula: 9.6 mmol/L

Sarapan:
susu skim + protein powder
1 keping roti wholemeal
 foul mudammas+ bawang+cili+limpahan minyak zaitun

Tengah hari
1 cawan nasi
1 cawan kerabu toge + kerang
1 senduk sawi goreng
kepak ayam goreng kunyit

Workout crosstraining 35 minit
Post workout
Susu skim + protein powder
Gula: 6.8 mmol/L

Dinner
2 biji epal hijau (fuhhhhhh... gila diet)

Kalori in: 1549 kal (ambikkk!! manjang terbabas)
Patutnya: 1348 kal.

bila ntah nak mencapai 1300 ni....

Wednesday, February 20, 2013

Roti Kesot (kembar tak serupa peknga/lempeng kelapa)

Pernah dengaq nama makanan roti kesot? Tak pernah? Takpa, hidup tetap bermakna walaupun tak tau menatang apa roti kesot ni. Walaupun roti kesot ni dimakan oleh aku dan keluargaku di Kedah, ada jugak orang Kedah tak pernah dengaq nama ni. Kalau pernah makan lempeng kelapa atau peknga sebagaimana namanya di utara, roti kesot ni lebih kurang macam tu la. Cuma namanya roti kan, jadi adunan tu tak lembik macam peknga, sebaliknya macam doh roti. Sebab tu namanya pun roti kesot.

Kalau peknga lebih menyerupai pancake dari segi bancuhan, roti kesot pulak adalah daripada jenis flatbread. Bahan asas flatbread adalah tepung, air dan garam, dalam kes roti kesot ini doh asas ini ditambah dengan nyoq muda. Tapi jangan cari nyoq muda hat beringus tu, kalau yang tu macam mana nak kukoq kan?

Nak buat roti kesot ni senang saja, tapi nak cari nyoq muda tu yang susah.

Bahan-bahan:
Tepung gandum
Nyoq muda/kelapa muda diparut
ayaq
Garam

- Anggaran tepung ngan nyoq ni, mungkin sama banyak atau nyoq dilebihkan. Jangan terlebih tepung nanti keras pulak.
Gaul rata tepung, nyoq dan garam. Lepas tu tuang ayaq sikit-sikit sampai boleh bentuk doh roti. Jangan keras sangat, satgi boleh buat piring terbang, patah gigi nak mengunyah. Lepas tu biaqla doh tu dulu, sejam dua ka.


 Lepas beberapa lama (istilah kedah dipanggil tahaq), boleh la dicanai dengan tangan atau guna penggelek tepung.

Lepas tu bakaq la macam bakaq roti canai tu, nak wangi guna la minyak sapi.  
 

Tada! Dah siap, boleh la dimakan, tak kira pagi, petang atau malam. Roti kesot boleh dicicah dengan kuah-kuah macam gulai ikan, sambal bilis atau sardin. Jangan lupa kopi panas buat peneman. Enak! :)