Free Delivery on all Books at the Book Depository

Thursday, November 08, 2018

Berlari: senaman yang murah, larian yang mahal.


Berlari dikatakan senaman paling murah. Beli kasut, pakai baju yang sesuai dah boleh mula berlari. Masa mula-mula bergiat aktiviti berlari, memang aku rasa yang ni la yang paling murah. Tukar baju, pakai kasut, boleh lari di sekitar rumah atau pun di stadium. Tengok cuaca macam mana. Berbanding nak berbasikal, nak kena beli basikal. Nak ke gim, kena bayar yuran. Jadinya, paling murah sebab tak perlu alatan atau bayaran yuran keahlian.  Tapi masalah utama nak bersenam ni adalah konsistensi. Ada masa rajin, ada masa jadi malas sangat nak pi. Trainer kat rumah tu pun bertukun saja. Kemudiannya, dengan niat asal untuk jadi external motivasi pada diri sendiri aku pun mula mendaftar untuk masuk acara larian. Yang pertama 5 km Perlis Marathon 2018. Kemudian, aku daftar 10 km  Alor Setar Half Marathon,  Tasik Melati Run, Sungai Petani Half Marathon, Northern Construction Run, NASOM Charity Run, Arau Rainbow Run, Coffee Run, Penang Bridge Marathon dan penutup 2018 Kangar City Run. Bersusun hang! Alor Setar tak lari walaupun dah daftar sebab demam selsema jadi tak tak berani nak pi takut satgi tersungkur sebelum tamat pulak.

Alhamdulillah, memang konsisten la training. Pasainya, kalau nak lari 10 km kena la training nak elakkan sakit otot lepas berlari. Kalau hujan, kena naik elliptical trainer.  Aku memang tak peduli langsung pasal medal ka baju ka. Sebab objektifnya adalah untuk lebih aktif.

Memandangkan kebanyakan acara larian pun sekitar Kedah Utara/Perlis saja, tak la terasa sangat perbelanjaan sebab bayar yuran penyertaan saja. Yang di Sungai Petani tu bila kena duduk hotel dan keluarkan belanja perjalanan pun masih okay. Aku memang ada peruntukan sukan/rekreasi bulanan. Kemudian, bila dah banyak masuk 10 km, terasa la pulak nak cuba Half Marathon, tapi pilihan untuk acara yang dekat tak ada sangat.

Aku mula rasa nak turun ke Kuala Lumpur tahun depan. Kena kira tambahan kos selain pendaftaran, penginapan, makan dan kos perjalanan. Tu belum ambil kira kasut nak kena beli tukar kalau dah lebih mileage, gajet tambahan tak ada sangat sebab aku guna yang sedia ada. Ada juga beberapa acara larian yang jadi pilihan. Yang pertama aku daftar Malaysia Women Marathon. Kos pendaftaran  dengan medal dia yang nampak cantik tu jadi RM79.50, tanpa baju event dan finisher tee. Hotel, untuk 2 malam RM450. Kos perjalanan dan makan kami bertiga anggaran lebih kurang RM600. Jumlah semua RM1130. Baru satu acara. Macam mana kalau aku nak masuk Standard Chartered KL Marathon dan Putrajaya Night Marathon? Lebih kurang RM3400, ditambah lagi dengan acara di sekitar utara pulak. Jenuh la. Lepas bila masuk pula group FB runners, banyak la yang dok promosi larian sana-sini. Score Marathon siap ada offer 13% kalau daftar untuk 2 larian. Tapi lepas kira pi mai pi mai, aku hadkan penyertaan aku ke acara yang jauh-jauh ni. Kalau ikut teringin memang nak masuk la, tapi matlamat asalnya macam tersasar dah, dan aku rasa ada banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan. Semoga tanpa masuk banyak acara pun aku masih boleh konsisten.